October 21, 2014

Kanak-kanak dicabul pemandu


KUALA PILAH – Seorang pemandu kereta sewa tergamak mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami trauma untuk pergi ke Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa).

Lelaki berusia 65 tahun itu diupah oleh nenek mangsa untuk menghantar cucunya ke kelas Kafa setiap hari.

Rahsia perbuatan terkutuk itu terbongkar apabila mangsa enggan menaiki kereta jenis Perodua Kancil walaupun dipaksa oleh neneknya, petang 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, mangsa yang ketakutan selepas dimarahi oleh neneknya akhirnya menceritakan perkara sebenar.

"Mangsa memberitahu lelaki itu telah mencabul bahagian sulitnya beberapa kali antara Jun hingga Oktober di dalam kereta,” katanya.

Azmi berkata, sejurus mendengar penjelasan cucunya, nenek terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, pada hari sama.

“Bertindak atas maklumat, lelaki itu ditahan di Jalan Melang pada 13 Oktober jam 10 pagi, sebelum dilokap selama selama sehari di Balai Polis Melang.

"Bagaimanapun suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lengkap," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul kehormatan.

"Suspek boleh dihukum penjara 10 tahun, atau denda, atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian 18 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment