October 2, 2014

Kanak-kanak maut terjatuh apartmen kuarters kerajaan

Norhashimah (berkerusi roda) tidak dapat menahan kesedihan ketika mengaminkan doa yang dibaca Megat Irwan (duduk dua dari kiri) di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya semalam. Gambar kecil ialah Megat Arif.

Budak pintar maut terjatuh tingkat 13

PUTRAJAYA – Seorang lelaki ditimpa dugaan berganda apabila terpaksa pula menerima hakikat kehilangan anak lelaki tunggalnya yang maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 13, Blok B, Apartmen 5R6, Presint 5 di sini semalam.

Sebelum ini, juruteknik alat penapis air, Megat Irwan Mohd. Alias, 32, diuji apabila isterinya, Norhashimah Saleh, 30, lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak setahun lalu.

Semalam, anak kesayangan mereka, Megat Arif Hussein, 6, disahkan meninggal dunia pada pukul 2 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya akibat kecederaan parah pada kepala.

Norhashimah merupakan kaki­tangan di Kementerian Pengajian Tinggi di Presint 5 di sini. Dia masih berkhidmat meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke tempat kerja.

Kosmo 3 Okt 2014


Budak maut jatuh balkoni

Putrajaya: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 kuarters kakitangan awam 5R2, Presint 5 di sini, tengah malam tadi.

Mangsa dikenali Megat Arif Hussein Megat Irwan ditemui tidak sedarkan diri selepas jatuh dari tingkat 13 kuarters berkenaan kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, mangsa sedang tidur seorang diri di dalam bilik, manakala bapanya turun ke tempat letak kereta untuk mengambil ibunya yang berkerusi roda.

Mangsa dikatakan terjaga ketika itu dan ke balkoni berkenaan sebelum terjatuh.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi tadi ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Putrajaya sebelum menjalani proses bedah siasat di hospital sama pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

myMetro 2 Okt 2014


Masih cuba bangun

MEGAT Irwan mengangkat mayat anaknya keluar dari rumah mayat Hospital Putrajaya, semalam.

KESAN lubang di bahagian siling yang meragut nyawa Megat Arif.

Putrajaya: “Ketika di pangkuan saya, arwah masih bernafas dan mengerang kesakitan, malah arwah juga dilihat cuba bangun selepas nama dipanggil ibunya,” kata Razali Hassan, saksi awal kejadian kanak-kanak berusia enam tahun, Megat Arif Hussein Megat Irwan yang maut selepas terjatuh dari tingkat 13 kuarters penjawat awam, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam di kuarters perumahan Penjawat Awam Presint 5 itu, mangsa dikatakan memanjat keluar tingkap bilik di rumahnya sebelum terjatuh di laluan masuk tempat letak kereta di tingkat bawah bangunan 14 tingkat itu.

Mangsa yang parah di kepala dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya bagi mendapat rawatan awal sebelum disahkan meninggal dunia jam 2.30 pagi semalam.

Razali yang juga anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh anak lelakinya, Muhamad Helmi, 20, sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan memangku arwah.

Beliau berkata, arwah pada ketika itu sedang mengerang kesakitan dan tidak mampu bercakap apa-apa malah, dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa kecuali memangku kepala arwah di ribanya.

“Saya hanya mampu membacakan surah al-Quran kepada arwah sementara menunggu ambulans tiba. Air mata saya mengalir apabila melihat arwah cuba bangun biarpun dalam kesakitan dan kecederaan sebaik mendengar nama dipanggil ibunya yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Saya memangku arwah hampir 10 minit sebelum pasukan paramedik dan ambulans dari Hospital Putrajaya tiba di lokasi kejadian,” katanya.

myMetro 3 Okt 2014


0 comments:

Post a Comment