October 2, 2014

Datuk atlet angkat berat maut dirempuh cucu

JENAZAH mangsa dibawa ke hospital.

Atuk, cucu berlaga

Kepala Batas: Seorang warga emas maut selepas motosikal dinaikinya bertembung motosikal cucu saudaranya di Jalan Permatang Tok Brain, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Zakaria Saad, 73, yang menunggang motosikal Honda Fame disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa yang juga datuk kepada atlet angkat berat negara, Zulhelmi Md Fisol dikatakan tercampak beberapa meter dari motosikalnya selepas perlanggaran itu.

Bagaimanapun, cucu saudara mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Yamaha LC135 cedera dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB), di sini.

Anak mangsa, Md Fisol Zakaria, 40-an, berkata, ketika kejadian arwah dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Permatang Janggus, di sini, tidak jauh dari tempat kejadian selepas minum di sebuah warung.

“Jika tidak ke sawah, ayah ke warung berhampiran simpang tiga Permatang Tok Brain untuk minum kopi kegemarannya.

“Sejurus dimaklumkan mengenai kemalangan itu, saya ke lokasi kejadian dan mendapati mayat arwah ditutup dengan surat khabar serta bahagian kepalanya dibasahi darah,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

myMetro 3 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment