October 31, 2014

Kanak-kanak maut, empat parah

MARAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas kenderaan dipandu bapa saudaranya terbabas menjunam ke gaung sedalam 30 meter di Kilometer 59 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Pekan Sri Jaya, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Kugan Thanabalan yang berada di tempat duduk belakang parah di kepala dan disahkan mati empat jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kereta jenis Nissan Sunny yang dipandu Murugan Saranggakbaliam, 30, dan isteri, Anmu, 28, bersama lima anak saudara itu dalam perjalanan dari Temerloh ke Kuantan.

Menurutnya, Murugan yang bekerja sebagai pemandu lori parah di kepala dan kaki menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Isterinya yang turut parah di kepala dihantar ke HoSHAS. Pasangan suami isteri tersebut menetap di Taman Rimba, Mentakab.

“Dua anak saudara perempuan di tempat duduk belakang masing-masing berumur empat tahun dan 16 tahun turut parah di kepala dan patah kaki.

“Sementara dua lagi anak saudara hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Sulaiman berkata, ketika tiba tempat kejadian yang menuruni bukit, pemandu Nissan Sunny itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan.

Menurutnya, kereta berkenaan gagal berbuat demikian apabila hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke kiri jalan lalu jatuh ke gaung sedalam 30 meter.

“Kesemua mangsa dikeluarkan pihak bomba dan dibawa ke HTAA dan HoSHAS.

“Siasatan mendapati laluan tersebut mempunyai satu lorong ke Kuantan dan dua lorong ke arah Maran dengan garisan tengah bersambung serta putus-putus.

“Cuaca baik namun tempat kejadian gelap tanpa lampu jalan dan kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain,” katanya.

Sinar Harian 27 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment