October 31, 2014

Adik temui mayat abang mati terlentang

RAUB - Seorang pengumpul barangan lusuh ditemui mati dalam keadaan terlentang di sebuah rumah di Jalan Sempam, Tranum, dekat Raub, petang kelmarin.

Mayat Yong Lam, 64, ditemui adiknya, Yong Wah Yen, 54, di atas tilam dan masih lengkap berpakaian kira-kira  jam 1.40 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub Deputi Superintendan Abdul Rahim Abdul Razak berkata, adik mangsa dikatakan ke rumah itu untuk melawat abangnya yang tinggal bersendirian.

Menurutnya, lelaki itu  memanggil nama mangsa  namun panggilannya tidak berjawab lalu mengambil keputusan masuk ke dalam rumah untuk mencari abangnya.

“Berdasarkan keterangan adiknya, mangsa tidak kelihatan sejak lebih lima hari lalu sedangkan sebelum ini dia sering keluar dan berjalan-jalan sekitar kawasan itu untuk mencari barangan lusuh.

“Lelaki itu bimbang abangnya ditimpa masalah lalu datang ke rumah tersebut untuk melawatnya dan kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila menemui mayat mangsa dalam rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita petang semalam.

Abdul Rahim berkata, susulan penemuan mayat mangsa, adiknya menghubungi polis itu tindakan lanjut.

“Polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan bagaimanapun mendapati kematian mangsa dipercayai tidak melibatkan sebarang unsur jenayah kerana tiada kesan pergelutan atau senjata merbahaya dijumpai,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa yang masih bujang itu mempunyai masalah kesihatan iaitu termasuk darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis.

“Pemeriksaan terhadap mayat juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan manakala  barangan berharga miliknya juga tidak dicuri,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

Sinar Harian 25 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment