October 21, 2014

Guru memandu maut kemalangan

Anggota bomba dan Penyelamat Balai Bidor bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 26.5 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat sini, petang kelmarin.

CHANGKAT JONG - Seorang tenaga pengajar pusat  latihan memandu di Bidor maut dalam kemalangan di Kilometer 26.5 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa dikenali Cheong Tuck Wai, 46, berasal dari Taman Chit Loong, Bidor maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah lori jenis Isuzu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta dari Bidor ke arah Teluk Intan manakala lori dipandu dari arah bertentangan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila  pemandu lori yang berasal dari Kampung Madrasah, Mambang Diawan, Kampar masuk ke laluan kanan.

“Lori yang dipandu lelaki berusia 57 tahun itu telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.

“Akibat kemalangan itu,  mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian,” katanya, di sini, semalam.

Mohd Shuhaily berkata, mangsa tersepit di tempat duduknya berjaya dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bidor.

"Sementara pemandu lori hanya cedera ringan  dan dirawat di hospital sama sebagai pesakit luar.

“Pihak kami masih menyiasat kejadian ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 20 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment