October 21, 2014

Dua pekerja kilang sawit maut

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah mengangkat mayat Azhar yang maut akibat tercampak keluar dari van.

MUADZAM SHAH – Dua lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas van yang dinaiki tujuh pekerja kilang sawit Felda Keratong 2 dan 3 itu bertembung dengan sebuah lori kargo yang membawa dedak dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 112.5 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang ke Kampung Inoi, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, dalam kemalangan yang berlaku pada 11.50 pagi semalam (kelmarin) itu, mangsa yang maut ialah Azhar Jusoh, 40, dan Rozaman Samin, 22, manakala identiti seorang lagi yang parah masih belum dikenal pasti.

“Kemalangan berlaku ketika van yang dinaiki enam penumpang termasuk pemandu pulang dari sesi latihan badminton dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Bandar Tun Razak. Pasukan berkenaan mewakili zon Muadzam Shah dalam satu perlawanan badminton di Johor.

“Ketika tiba di tempat kejadian, lori berkenaan yang datang dari arah Segamat telah memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya manakala pemandu van tersebut yang datang dari arah bertentangan terpaksa turun ke bahu sebelah kiri jalan untuk mengelak bertembung dengan lori tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Johari berkata, lori berkenaan yang tidak sempat membrek dan masuk ke laluannya semula telah merempuh bahagian tepi belakang sebelah kanan van terbabit menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan telah terbabas ke kiri jalan seterusnya melanggar papan tanda arah sebelum terbalik.

Kejadian itu menyebabkan seorang penumpang van tercampak keluar dan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi yang parah akibat tersepit di kerusi belakang maut pada jam 3.15 petang kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Seorang penumpang yang cedera parah dan tiga lagi yang mengalami cedera ringan dihantar ke hospital yang sama untuk diberi rawatan lanjut.

“Pemandu lori itu yang berusia 26 tahun ditahan petang semalam (kelmarin) untuk soal siasat dan ujian air kencing, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 10 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment