October 21, 2014

"Pulanglah Linda, ibu rindu kamu"

Razali dan Saadiah (kiri) menunjukkan gambar Linda dan salinan laporan polis di sini, semalam. 

JERANTUT - “Linda anak sulung kami. Pulanglah ibu amat merindui kamu dan sepanjang Linda meninggalkan rumah, ibu tidak dapat melelapkan mata dan kerap sakit,” kata ibu kepada anak gadis Orang Asli yang hilang sejak dua bulan lalu.

Tiada apa yang yang lebih menggembirakan ibu bapa gadis Orang Asli tersebut, Linda Razali, 19, ketika ini selain mengharapkan anak gadis mereka yang hilang pulang dalam keadaan selamat ke pangkuan keluarga.

Tok Batin Kampung Paya Petai, Razali Rengai, 47, dan isterinya, Saadiah Awang, 39, berkata, anak gadis mereka dipercayai menghilangkan diri selepas mengikut teman lelakinya yang bekerja sebagai pemandu di bandar ini.

Saadiah berkata, ketika melarikan diri pada 4 Ogos tahun ini, kira-kira pukul 9 pagi, Linda yang berkulit hitam manis dipercayai cuma membawa diri dengan hanya sehelai sepinggang bersama telefon bimbit.

Menurutnya, sebelum meninggalkan rumah, anak sulung dalam keluarga Orang Asli itu membakar sampah di belakang rumah dan tidak menunjukkan apa-apa reaksi yang mencurigakan mereka.

“Selepas itu, Linda turun dari rumah dan bergegas ke arah jalan raya Padang Piol ke Jerantut Feri tanpa memberitahu kami.

“Saya melihat di dalam bilik Linda masih ada beg duit dan pakaian yang lain tidak terusik dan kami menjangkakan dia hanya keluar sekejap ke rumah rakannya,” katanya di sini, semalam.

Saadiah berkata, adik Linda melihat kakaknya berlari-lari ke arah jalan raya dan berasa tidak sedap hati lalu menjejaki Linda sehingga sampai di persimpangan Jalan Persekutuan Jerantut ke Maran.

Dia berkata, adiknya telah melihat Linda dengan pantas membonceng sebuah motosikal seorang lelaki lalu memecut menghala ke arah Pulau Tawar dan tidak tahu ke mana tujuan mereka sehingga ini tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, sebelum ini tidak ada apa-apa perselisihan faham antara Linda dengan ahli keluarganya dan gadis itu menunjukkan perwatakan yang baik serta rajin membantunya memasak di dapur selepas pulang bekerja sebagai pembantu kedai di bandar Jerantut.

"Sebagai bapa saya tahu dia mempunyai hubungan dengan seorang lelaki keturunan Melayu di bandar ini dan lelaki berkenaan pernah bertandang ke rumah kami di Kampung Paya Petai, di sini.

“Jika dia (lelaki) berkenaan atau mana-mana lelaki sekalipun berkenan dengan Linda dan hendak berkahwin dengannya, saya berharap mereka menyunting anak saya secara beradat dan dapat berjumpa dengan kami,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang anak nya dilarikan untuk tujuan lain dan terjebak dengan gejala sosial dan kegiatan yang kurang sihat sehingga ini turut menghantui keluarga berkenaan.    

Dia berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya agar segera memaklumkan kepada Razali Rengai menerusi talian 011-29364469 dan Mohd Farook Abdullah di talian 014-2189717.

Sinar Harian 14 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment