October 25, 2014

'Arwah minta jahit sarung kerusi'

KUALA BERANG - “Beberapa hari sebelum suami dijemput Ilahi, dia suruh saya jahitkan sarung kerusi meja makan kerana dia ingin duduk di situ. Tidak mahu hampakan permintaannya itu, saya turutkan dan jahit dua sarung kerusi.”

Demikian luahan Norliza Supar, 42, isteri kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Sungai La, Setiu, Allahyarham Ahmad Shamsul Wahab, 40, yang meninggal dunia pada 3 September lalu akibat serangan jantung.

Menurut Norliza, suaminya meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu, selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas ketika sedang memandu kereta untuk menghadiri kursus di Setiu.

“Dia hubungi saya memaklumkan perkara itu. Ketika itu saya sedang bersiap-sedia memulakan kelas di Sekolah Kebangsaan Kuala Berang sebelum bergegas mengambilnya di tepi jalan berhampiran Politeknik Hulu Terengganu, lalu menuju ke Klinik Kesihatan Kuala Berang.

“Suami saya kemudian dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan. Saya terkejut memandangkan tidak pernah lihat suami sakit, malah arwah juga tidak pernah mengadu sakit sepanjang perkahwinan kami.

“Saya reda dan bersyukur kerana sempat menunaikan permintaannya untuk menjahitkan sarung kerusi meja makan di rumah. Suami juga ada bawa kami sekeluarga ke Kuala Terengganu dan belikan baju sekolah anak-anak,” katanya.

Norliza berkata demikian ketika menerima kunjungan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Terengganu, Ustaz Marzuki Hassan bagi menyampaikan dua cek dengan nilai keseluruhan RM5,500.

Ibu tiga anak itu turut berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak dan memaklumkan, sumbangan tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan tiga anaknya, Ahmad Syafiq Adli, 10; Nurul Ain Syafiqah, 7 dan juga Nur Aisy Syakira, 3.

Sementara itu, Marzuki berkata, Allahyarham Ahmad Shamsul menjadi ahli NUTP selama 16 tahun dan cek diserahkannya itu melibatkan khairat kematian (RM2,500) serta faedah tabung kebajikan kepada waris ahli (RM3,000).

“NUTP adalah kesatuan yang menjaga kebajikan guru dan keluarga mereka. Jumlah faedah kepada waris bergantung pada tempoh seseorang menjadi ahli. Bagi Terengganu, keahlian NUTP melebihi 10,000 orang,” katanya.

Sinar Harian 25 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment