October 29, 2014

Galas tanggungjawab sara keluarga

KUALA KRAI - Seorang wanita dari Kampung Bukit, Batu Balai dekat sini, terpaksa mengambil alih tugas mencari rezeki selepas suaminya disahkan menghidap kanser, setahun lalu. Penyakit tersebut menyebabkan Mat Zaid Sulong, 42, tidak dapat bekerja seperti biasa dan hanya terlantar di rumah.

Kini, Siti Esah Mat Yasin, 36, terpaksa mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu untuk menyara keluarga.

Dengan pendapatan tidak seberapa itulah dia menyara suami, dan enam anak berusia 3 hingga 18 tahun.

Menurutnya, walaupun pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk membiayai keluarga, dia tetap melakukan rutin itu setiap hari kerana hanya itu mampu dilakukan.

“Setiap hari saya peroleh sekitar RM20 itu pun sekiranya dapat menoreh.

“Sekiranya hari hujan saya tidak dapat keluar menoreh,” katanya.

Siti Esah berkata, kini dia dan keluarga bergantung sepenuhnya kepada upah menoreh getah.

Ia berikutan sebelum ini mereka sekeluarga belum pernah mendapat bantuan dari mana-mana pihak.

Kisah keperitan hidup keluarga itu mendapat perhatian pengurusan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang melawat keluarga berkenaan, kelmarin.

Timbalan Pengurus Besar Kesedar, Ramli Mat Zain yang turut turun padang melawat Siti Esah dan memaklumkan akan cuba membantu keluarga itu dengan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, beliau terharu dan simpati melihat betapa peritnya kehidupan keluarga Siti Esah.

“Kehidupan keluarga ini agak daif, apabila melihat cara hidup mereka saya rasakan mereka layak menerima bantuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Siti Esah bersyukur dengan kunjungan Kesedar dan pemimpin setempat.

Katanya, belum pernah mana-mana pihak melawat dia sekeluarga sebelum ini.

Baginya, kehadiran rombongan Kesedar dan pemimpin setempat sedikit sebanyak memberi sinar baru buat dirinya dan keluarga.

Sinar Harian 21 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment