October 31, 2014

Anggota bomba maut motosikal dipercayai dilanggar lori

Ab Latiff Sulaiman maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badannya. - Foto Farhan Najib

BAGAN SERAI: Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, Ab Latiff Sulaiman, 56, maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badannya.

Kejadian di persimpangan lampu isyarat di tengah-tengah pekan ini, dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa dilanggar dari belakang oleh lori terbabit sehingga terperosok di bawah lori berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Alias Bahari, berkata pasukannya dipanggil untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah lori itu.

"Kami kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian 26 Okt 2014


Beg galas untuk ayah

RAKAN mangsa tidak dapat menahan kesedihan di lokasi kejadian.

Bagan Serai: “Bapa ada menelefon saya Khamis lalu memaklumkan mahu meminjam beg galas untuk digunakan semasa kursus di Terengganu. Saya tidak menyangka ia permintaan terakhirnya sebelum bapa meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi tadi (semalam),” kata Nurhanaa Izzah, anak kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Kurau Ab Latiff Sulaiman yang meninggal dunia akibat dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 13, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, Ab Latiff, 56, yang menunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas dirempuh dari belakang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Nurhanaa, 26, berkata, ketika Allahyarham bapa menghubungi pada pagi Khamis lalu, dia di Pulau Pinang mengikuti penggambaran sebuah produksi dan menyerahkan beg sebelum kembali semula ke Pulau Pinang.

“Saya pulang ke rumah untuk meminjamkan beg galas seperti yang ayah minta.

“Saya sangat sedih mengenangkan permintaan ayah untuk meminjam beg galas adalah yang terakhirnya sebelum pergi meninggalkan kami buat selamanya,” kata anak kedua daripada lima beradik itu yang ditemui semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, sebuah lori membawa muatan taufu dari arah Kuala Kurau menghala ke Pasar Awam Bagan Serai merempuh motosikal ditunggang Ab Latiff.

Menurutnya, pemandu lori yang berasal dari Bukit Mertajam dipercayai mengantuk dan merempuh motosikal jenis Suzuki mangsa yang ketika itu berhenti di belakang sebuah van selepas lampu isyarat merah.

myMetro 27 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment