October 31, 2014

Tak sempat bawa keluar makan

Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan kilang dengan menaiki kenderaan polis dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut. Gambar kecil: Zahari.

KEMAMAN – Hasrat seorang pengawal keselamatan untuk membawa isteri dan anak bongsu kembarnya makan ayam goreng KFC selepas tamat waktu bekerja, tidak kesampaian selepas dia ditemui mati di tempat kerjanya di sebuah kilang papan lapis dekat Jalan Jakar, kelmarin.

Mangsa, Zahari Abdullah, 53, yang beralamat di Kampung Jong Belabuh, Kijal, ditemui rakan sekerjanya kira-kira jam 1.30 petang dalam keadaan muka kebiru-biruan dan terbaring di hadapan pejabat kilang itu, dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya, Halimah Ripin, 52, berkata, pada malam sebelum kejadian, suaminya mengajak dia dan dua anak kembar lelaki mereka berumur 13 tahun, makan di luar kerana rumah mereka terputus bekalan air sejak sehari sebelumnya.

“Tak mahu makcik susah-susah memasak sebab tak ada air, suami ajak makan di luar, malah duit untuk belanja makcik dan anak makan juga suami sudah keluarkan dari bank awal-awal lagi dan disimpan dalam dompetnya.

“Namun kira-kira jam 3 petang, semasa sedang bekerja, tiba-tiba makcik dapat panggilan telefon sebelum bergegas ke kilang bersama anak-anak.

"Bagaikan tak percaya lihat jasad suami kaku sebab ketika keluar bekerja pada waktu pagi, dia nampak sihat dan tiada apa-apa yang ganjil,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman.

Kata ibu tujuh anak yang bekerja di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman itu, arwah suaminya sejak belakangan ini gemar bermain permainan dalam telefon bimbit dan kurang bercakap.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pesara tentera dan mula bertugas sebagai pengawal keselamatan di kilang itu tujuh tahun lalu, bekerja syif pagi bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Abdullah Mohd Nor, 42, berkata, dia terkejut apabila menemui Zahari  dalam keadaan terlentang di atas tanah, ketika sedang melakukan rondaan.

“Kemudian saya segera angkat arwah dan letakkannya di tepi pejabat sambil panggil namanya berulang-kali, namun dia tidak menyahut. Tubuhnya juga sejuk,” katanya.

Justeru, Abdullah berlari sejauh beberapa ratus meter untuk mendapatkan pertolongan dan seorang pengawal keselamatan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersebelahan kilang papan lapis itu bertindak menghubungi ambulans.

Menurutnya, kejadian itu berlaku selepas beberapa jam mangsa masuk bekerja setelah keluar rehat.

“Arwah keluar rehat jam 10 pagi, saya pula keluar rehat jam 11 pagi dan waktu saya mahu keluar rehat, kami berselisih di hadapan pejabat tanpa sempat bercakap,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian 27 Okt 2014

0 comments:

Post a Comment