September 16, 2014

Pemuda maut nahas motosikal

Pemuda berusia 22 tahun itu mati di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang terjatuh sendiri sebelum bertembung kenderaan dari arah bertentangan.

MARAN - Seorang pemuda Orang Asli maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Maran-Jerantut, kira-kira jam 6 petang, semalam.

Mangsa, Sham Dollah, 22, yang berasal dari Kampung Orang Asli Sungai Bangkong, Jerantut mati di tempat kejadian akibat parah di  dada.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC secara sendirian dalam perjalanan pulang dari arah Maran ke Jerantut.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian berdekatan kawasan rekreasi Lubuk Ujed itu, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terjatuh sendiri ketika menuruni satu selekoh ke kiri di laluan berkenaan.

“Motosikal yang terjatuh memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Mangsa yang dipercayai menunggang tanpa lesen memandu dan tidak memakai topi keledar mengalami kecederaan parah di bahagian dada.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Sulaiman berkata, pemandu kereta jenis Proton Wira berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 16 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment