September 16, 2014

Hanya ibu kandung boleh bantu

Muhammad Iman (kiri) yang ditemani Abd. Rashid (tengah) serta keluarga angkat yang lain tampil mendapatkan bantuan daripada Amir Hamzah (kanan), semalam.

AYER KEROH - Seorang remaja berdepan kesukaran untuk bersekolah dan melakukan beberapa urusan lain akibat ketiadaan sebarang dokumen pengenalan diri sejak lahir.

Muhammad Iman Safuan, 16, yang dibesarkan sejak berusia lapan tahun bersama keluarga angkat berkata, dia sukar untuk memohon sijil kelahiran dan kad pengenalan disebabkan gagal mengesan ibu kandung sebenar.

Menurutnya, dia sebelum ini hanya sempat bersekolah sehingga darjah dua dan selepas itu keluarga angkatnya yang menetap di Bukit Sebukor, sukar menguruskan urusan persekolahannya disebabkan masalah itu.

“Umur saya sekarang sudah 16 tahun.  Saya tidak habis sekolah apatah lagi memohon melakukan sebarang pekerjaan. Apa yang boleh dilakukan hanyalah menolong keluarga angkat membuat sebarang kerja rumah," katanya.

Berikutan itu, katanya, dia berusaha untuk mengesan di manakah ibu kandungnya yang sebenar berada.

“Selagi tiada ibu yang mengesahkan, selagi itulah saya akan gagal memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sampai bila-bila.

Apa yang menyedihkan taraf saya kini dianggap sebagai bukan warga negara meskipun dilahirkan di sini,” katanya.

Bapa angkatnya, Abd Rashid Harun, 57, berkata, dia mula memelihara Muhammad Iman Safuan selepas diserahkan neneknya yang bernama Habibah Aziz yang kini berusia dalam lingkungan 50-an sejak kira-kira lapan tahun lalu.

“Pada mulanya neneknya memberitahu saya, dia hanya menumpangkan Muhammad Iman, sementara ibunya mengambilnya kembali tetapi ibunya hanya sempat menyerahkan dokumen tentang butir-butir kelahirannya di sebuah pusat perubatan swasta di Muar dan sehingga kini dia gagal ditemui.

“Kerana kasihankan kanak-kanak itu, akhirnya saya memutuskan untuk memeliharanya sehingga kini,” kata bapa kepada 10 anak itu semalam.

Abdul Rashid berkata, dia kemudian cuba mengusahakan dokumen untuk Muhammad Iman termasuk membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tetapi sehingga kini masih gagal bahkan remaja berkenaan dianggap sebagai bukan warga negara selagi tiada pengesahan ibunya yang menunjukkan dia lahir di negara ini.

Berikutan masalah itu, dia mendapatkan bantuan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka, semalam.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada JPN bagi mengesan di mana ibu kandung remaja berkenaan berada.

“Setakat ini, kita sudah berjaya menghubungi neneknya yang kini menetap di Batu Pahat, Johor dan ini suatu perkembangan positif bagi membantu proses untuk mendapatkan dokumen pengenalan remaja berkenaan.

“Kita dimaklumkan nama ibu kandung remaja berkenaan dikenali sebagai Mastura dan Pembela BN merayu sekiranya ibu berkenaan mengetahui tentang berita ini, diharap dapat tampil bagi membantu remaja ini, demi masa depannya,” katanya.

Sinar Harian 16 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment