September 16, 2014

Pelajar kolej dikhuatiri lemas di Cherating

Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam selepas mayat mangsa ditemui di Kemaman. Gambar kecil: Muhammad Aiman

KUANTAN: Seorang pelajar kolej dikhuatiri lemas ketika berenang bersama lima rakannya di pantai Cherating pada petang Isnin.

Mangsa, Muhammad Aiman Abdul Khalib,19, dari Muadzam Shah, Rompin dilaporkan hilang kira-kira pukul 7 petang.

Rakan-rakannya yang panik selepas gagal mencari mangsa kemudian bergegas memaklumkan orang ramai dan penduduk kampung.

Satu pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri dari anggota polis, Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia kemudian dikejarkan untuk mencari mangsa.

Walau bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada pukul 8.30 malam kerana keadaan yang semakin gelap dan akan diteruskan pada Selasa.

Sumber NST 16 Sep 2014


Mayat dibawa arus hingga Kemaman

KUANTAN - Mayat pelajar kolej swasta, Muhammad Aiman Abdul Khalib, 19, yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Cherating, dekat sini, petang kelmarin ditemui terapung di kawasan Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman, Terengganu, kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, mayat  Muhammad Aiman ditemui terapung oleh nelayan di kawasan berkenaan kira-kira jam 11 pagi semalam, sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada polis.

Menurutnya, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman ke lokasi kejadian sebelum membawa mayat mangsa ke Hospital Kemaman, Terengganu untuk urusan pengecaman dan bedah siasat.

“Waris mangsa yang dipanggil untuk sesi pengecaman mengesahkan mayat terbabit adalah Muhammad Aiman berdasarkan pakaiannya memandangkan keadaan mayat sudah agak reput.

“Susulan penemuan mayat mangsa itu, pusat operasi mencari dan menyelamat di pantai peranginan Cherating ditutup sepenuhnya kira-kira jam 12.30 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 6.45 petang Isnin lalu, Muhammad Aiman dilaporkan lemas di pantai peranginan berkenaan ketika berkelah bersama lima rakannya yang lain.

Mangsa yang juga pelajar di Institut Pendidikan dan Latihan RANACO, Kemaman, Terengganu itu dikatakan hanya sempat mandi kira-kira 15 minit di pantai itu sebelum hilang dibawa arus ombak.

Rakannya yang panik melihat mangsa secara tiba-tiba hilang meminta bantuan orang ramai serta penduduk tempatan untuk mencari mangsa.

Anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu mencari dan menyelamat pelajar itu sejak dia dilaporkan hilang.

Abdul Aziz turut menasihatkan orang ramai terutama pengunjung dari luar Kuantan supaya berhati-hati ketika mandi di pantai dan sungai daerah ini yang menjadi tumpuan pada cuti persekolahan.

“Mereka diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan mematuhi arahan pengawal pantai dengan tidak mandi di pantai jika cuaca tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga diminta sentiasa mengawasi anak masing-masing dan tidak mengabaikan keselamatan ketika melakukan aktiviti air.

“Ini adalah kejadian lemas kedua berlaku di daerah ini dalam tempoh dua minggu, justeru kita minta orang ramai supaya berhati-hati ketika berkunjung ke mana-mana pantai atau sungai di negeri ini bagi mengelak tragedi seumpama ini berulang,” katanya.

Sinar Harian 18 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment