September 16, 2014

3 sekeluarga maut diserang tebuan

Sharifah Norshasylaurati Wan Aribi, 24 dan anaknya, Nor Sharina Sharizan, 6

Esah Ebon

HASIL: Raffaiee menunjukkan pucuk nipah yang diperolehi Sharizan sebelum serangan gamang, kelmarin.

Berbisanya ‘gamang’

Dua lagi wanita meninggal dunia akibat diserang tebuan

KOTA SAMARAHAN: Dua lagi wanita terkorban setelah disengat puluhan tebuan yang lebih dikenali sebagai ‘gamang’ oleh penduduk tempatan, selang beberapa jam Nor Sharina Sharizan, 6, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Salah seorang daripada wanita itu Sharifah Norshasylaurati Wan Aribi, 24, yang dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi semalam merupakan ibu kepada kanak-kanak tersebut.

Manakala Esah Ebon, 41, yang merupakan kakak ipar kepada Sharifah meninggal dunia jam 10.45 malam kelmarin.

Salah seorang anggota keluarga terdekat, Raffaiee Ebon, 39, menyifatkan insiden itu tragedi hitam keluarganya kerana mengorbankan tiga insan disayangi dalam sekelip mata.

Lebih menyedihkan apabila adiknya, Sharizan Ebon yang merupakan salah seorang mangsa dalam serangan tebuan itu, juga suami kepada Sharifah dan bapa kepada Sharina tidak dapat menghadiri pengebumian kerana masih ditahan di wad HUS.

“Dia berkeras mahu keluar dari wad. Tetapi saya dapat pujuk dia agar tinggal di wad dan biar saya sendiri yang menguruskan pengebumian isterinya (Sharifah), anaknya, (Sharina) dan kakak kami (Esah),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Bundong, di sini, semalam.

Raffaiee menjelaskan, keadaan Sharizan serta anak lelakinya yang berusia tiga tahun beransur pulih.

Bagaimanapun katanya, anak kepada Allahyarham Esah yang berusia lapan tahun dan menghidap penyakit darah tinggi sejak lahir, kurang stabil.

Dalam insiden sekitar jam 11 pagi kelmarin, Sharizan, isteri dan dua anak mereka serta kakaknya serta anak saudaranya pergi ke seberang sungai di Kampung Tanjung Bundong untuk mencari pucuk nipah bagi membalut kuih.

Selepas mengambil daun nipah terakhir sebelum berangkat pulang, tiba-tiba Sharizan menyedari puluhan tebuan mengerumuni kepalanya dan terus terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, Sharizan kemudian naik semula ke sampan untuk menyelamatkan keluarganya dan nampak isteri serta kakaknya berusaha melindungi anak-anak kecil daripada serangan tebuan tersebut.

“Dia mula menghidupkan enjin sangkut dan balik ke seberang sini.

“Setibanya di kawasan rumah, Sharizan yang membelakangkan saya sambil menarik sampan ke tebing sungai meminta bantuan saya untuk menghantar mereka ke hospital.

“Ketika itu saya berasa agak hairan kerana lazimnya dia memandu sendiri jika hendak ke mana-mana, sehinggalah dia menoleh ke arah saya dan saya ternampak mukanya begitu kembang (bengkak) akibat disengat gamang.

“Selepas itu, baharu saya ternampak kakak saya dan kakak ipar (Sharifah) melangkah lemah dan terhuyung-hayang, juga kembang-kembang disengat,” katanya Raffaiee.

Raffaiee sempat mengambil ubat Panadol di dalam peti ais untuk diberi kepada anak-anak saudaranya sebelum bergegas menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Kota Samarahan dan seterusnya ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.

“Hati saya berdebar-debar kerana tebuan masih berterbangan di dalam van saya tetapi saya gagahkan diri kerana saya mahu mereka mendapatkan rawatan di hospital secepat mungkin,” katanya.

Katanya Allahyarham Esah menyara kehidupannya serta tiga orang anak dalam lingkungan usia lapan hingga 15 tahun dengan menjual kuih-muih. Sharizan pula bekerja sebagai penambang.

Utusan Borneo Online 8 Sep 2014


Tiga cari nipah dibunuh tebuan

Kota Samaraha: “Patutlah hati saya selalu gelisah tidak menentu, rupa-rupanya ia petanda saya hilang anak dan cucu serentak,” kata Wan Aribi Wan Ibrahim, 54, berhubung kematian anaknya, Sharifah Norhasyiawati, 24, dan cucu Nor Sharina Sharizan, 6, akibat serangan tebuan di Sungai Sebang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, selain dua beranak itu, Esah Ebon, 42, kakak ipar kepada Sharifah Norhasyiawati turut maut akibat diserang tebuan dalam kejadian di Sungai Sebang, berhampiran Kampung Tanjung Bundong, di sini.

Sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa bersama suami Sharifah Norhasyiawati, Sharizan Ebon, 32, anak lelaki mereka, Khusairi, 3, serta anak lelaki Esah, Ismail Jemali, 9, keluar mencari pucuk nipah di kawasan sungai berkenaan untuk membungkus tapai yang menjadi perniagaan keluarga sejak 14 tahun lalu.

Ketika kejadian, Sharifah Norhasyiawati dan Sharina paling teruk diserang tebuan apabila terkena 40 hingga 50 sengatan manakala Esah turut disengat di seluruh badan.

Sharizan, Khusairi dan Ismail turut parah akibat serangan berkenaan namun masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

myMetro 8 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment