September 22, 2014

Mayat ditemui terdampar

Keadaan mayat lelaki warga Kemboja itu ketika ditemui hanya berseluar tanpa baju.

ROMPIN - Mayat seorang lelaki yang hanya berseluar ditemui terdampar di atas batu di kawasan Taman Laut berhampiran Kampung Tekek, Pulau Tioman, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, keadaan mayat ketika ditemui orang awam kira-kira jam 2.30 petang  itu sudah kembung, bagaimanapun  tiada sebarang luka pada badan mangsa.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui, bagaimanapun hasil pengecaman seorang tekong bot, Zainal Abdullah, 40-an mengesahkan mangsa dikenali sebagai Ali dan bekerja sebagai nelayan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Zainal, lelaki itu sudah bekerja dengan bot menangkap ikan berkenaan sejak empat bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Johari, mengikut keterangan tekong bot terbabit, mangsa didapati tiada dalam bot berkenaan semasa bot berhenti di Marina Kampung Tekek.

“Kali terakhir lelaki itu dilihat berada di dalam bot itu kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu dan rakan sekerjanya cuba mencari mangsa namun gagal,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, siasatan juga mendapati tiada sebarang pergaduhan berlaku sebelum kehilangannya.

“Mayat dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat bagi kenal pasti punca kematian,” katanya.

Sinar Harian 22 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment