September 2, 2014

Maut rempuh tiang elektrik

ANGGOTA polis mengangkat mayat Fahmy yang maut dalam kemalangan.

Dungun: “Arwah sempat bersalam dengan saya sebelum pergi ke tempat kerja,” kata Mohd Zaki Harun, 49, bapa kepada Mohammad Fahmy Ifdzal, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 64.7, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kuala Abang, di sini, semalam.

Mangsa yang menunggang motosikal Naza GSR250 maut apabila gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh tiang elektrik lalu tercampak ke tengah pembahagi jalan pada jam 8.45 pagi.

Mangsa yang berasal dari Kampung Pak Pa, Kuala Terengganu mengalami kecederaan parah di kepala, dada serta muka meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Zaki berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu petang kelmarin ketika mangsa yang bekerja sebagai mekanik motosikal berkuasa tinggi memaklumkan hendak ke Dungun.

“Anak memaklumkan perlu bertugas di Dungun memandangkan syarikat tempatnya bekerja mengadakan jelajah promosi menjual motosikal di sana.

“Arwah sempat bersalam dengan saya sebelum turun dari rumah dan saya tidak menyangka dia akan pulang ke rumah pagi ini (semalam) sebelum terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan balik,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, di sini, semalam.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada rakan arwah anaknya itu yang memaklumkan mangsa kemalangan dan meminta dia segera ke Hospital Dungun.

“Saya pada mulanya menyangkakan kemalangan itu kecil saja dan sebaik tiba di Bilik Kecemasan hospital, saya dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa kemudian dibawa polis ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.

“Dalam tempoh tiga hari berturut-turut, enam mangsa maut membabitkan tiga kemalangan yang berlaku di Dungun.

“Daripada Januari tahun ini hingga hari ini (semalam), seramai 39 orang maut dan polis meminta kerjasama kepada semua pemandu supaya tidak memandu laju serta berwaspada setiap masa sebagai mengelak kemalangan maut terus berlaku,” katanya.

myMetro 2 Sep 2014


Mekanik maut motosikal terbabas

KUALA ABANG - Seorang mekanik maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 64.7, Jalan Kuala Terengganu, dekat simpang masuk ke Kampung Rhu Bhatil, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.45 itu dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Naza Blade ditunggangi Mohamad Fahmy Ifdzal Mohd Zaki, 20, dipercayai terbabas lalu melanggar tiang elektrik sebelum motosikal itu menggelongsor sejauh kira-kira 30 meter.

Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah di seluruh badan selain patah tengkuk meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, Mohamad Fahmy yang difahamkan menunggang motosikal milik majikannya dalam perjalanan dari Dungun menuju ke Kuala Terengganu.

Menurut bapa mangsa, Mohd Zaki Harun, 48, kali terakhir dia bertemu arwah yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Mohd Zaki berkata, anak lelakinya itu amat meminati motosikal dan bekerja dengan syarikat menjual motosikal sebaik menamatkan kursus di Pusat GiatMara.

Katanya, petang kelmarin, arwah yang sedang membantu majikannya membuat promosi karnival jualan motosikal di hadapan pasar buah bandar Dungun pulang sekejap ke rumah untuk mengambil beg sebelum bergegas semula balik ke Dungun.

“Ketika bertemu di rumah saya di Kampung Pak Pa, dia tak banyak bercakap.

“Saya tak sangka itulah pertemuan terakhir kami,” katanya.

Mohd Zaki mengetahui berita mengejutkan itu selepas mendapat panggilan daripada seorang rakan arwah.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Jenazah arwah dituntut keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Merbau Patah, Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian dan kes kemalangan terbabit masih dalam siasatan pihaknya.

Sinar Harian 2 Sep 2014



0 comments:

Post a Comment