September 2, 2014

Hidup mati dengan balang oksigen

MOHD. Sofee yang bergantung hidup dengan tabung oksigen membantu memicit kaki ibunya, Sara di rumah mereka di Kampung Tengku, Jalan Putra, Alor Setar, Kedah semalam.

ALOR SETAR – Sekali pandang, Mohd. Soffe Mohamad Ismail, 37, kelihatan sihat dan mampu melakukan pelbagai aktiviti fizikal seperti insan normal yang lain.

Bagaimanapun, siapa sangka di sebalik wajah tenangnya terselit perasaan duka setelah dia disahkan menghidap penyakit paru-paru kronik kira-kira dua tahun lalu.

Ekoran penyakit itu, hidup Mohd. Soffe yang tinggal bersama ibunya, Sara Abdullah, 74, di Kampung Tengku, Jalan Putra berhampiran Rumah Merdeka di sini kian terhimpit kerana dia tidak lagi mampu bekerja untuk menyara keluarganya.

Cerita Mohd. Soffe, dia pernah menghidap penyakit tibi pada tahun 2002 tetapi pulih dua tahun kemudian.

“Selepas pulih saya bekerja di sebuah syarikat minyak antarabangsa di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM900 sebulan.

“Bagaimanapun, pada tahun 2006, saya terpaksa berhenti kerja kerana keadaan kesihatan saya merosot sebelum berpindah ke Alor Setar dan menetap bersama ibu di rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Kosmo 2 Sep 2014


Tabung oksigen nyawa kedua

ALOR SETAR - Kehidupan seorang lelaki di Kampung Tengku, Jalan Putra di sini, kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada tabung oksigen yang dianggap sebagai nyawa keduanya.

Mohd Sofee Mohamad Ismail, 37, berkata, dia tidak boleh berenggang lama daripada mesin bantuan pernafasan itu memandangkan menghidapi penyakit paru-paru kronik sejak 13 tahun yang lalu.

“Paling lama saya mampu keluar rumah tanpa tabung oksigen hanyalah lebih kurang sejam. Itu pun sentiasa perlu perhatikan jam supaya tidak terlebih masa.

“Kalau saya terlepas pandang masa ditetapkan, akibatnya saya tidak dapat bernafas. Andai mesin berhenti, sememangnya nyawa saya terancam,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sofee berkata, dia pernah mengalami muntah darah teruk dan terpaksa dikejarkan ke hospital apabila rumahnya terputus bekalan elektrik.

Menurutnya, berat badannya susut sekitar hampir 40 kilogram (kg) berbanding sewaktu zamannya masih sihat dan bekerja.

"Saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat minyak di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM900 sebulan, namun berhenti selepas kesihatan merosot.

"Memandangkan saya perlu memakai mesin terbabit 24 jam sehari, saya tidak mampu untuk bekerja," katanya.

Katanya, dia sememangnya ingin bekerja untuk menyara kehidupan dia dan ibunya, Sara Abdullah, 74, namun tidak mampu untuk melakukannya.

"Saya memerlukan sebuah mesin mudah alih, Long Term Oxygen Therapy (LTOT) bernilai kira-kira RM15,000 supaya boleh keluar bekerja semula," katanya.

Menurutnya, mesin digunakannya kini sudah dua tahun tidak diselenggarakan malah berkemungkinan tersumbat dan tidak berfungsi secara tiba-tiba.

“Satu mesin perlu sekitar RM250 untuk penyelenggaraan, namun saya tidak memiliki cukup wang untuk menampung kehidupan seharian dan perubatan, apatah lagi kos sampingan lain seperti membaiki kerosakan rumah.

"Kami hanya bergantung sepenuhnya pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan untuk meneruskan hidup,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 02011020934733 atau hubungi Mohd Sofee di talian 012-5470142.

Sinar Harian 6 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment