September 3, 2014

‘Kerjaya’ culik untuk tebusan punah

Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri dikesan mencari wang mudah dengan melakukan jenayah culik menggunakan alat renjatan elektrik terhadap warga asing sebelum mengugut ahli keluarga mangsa membayar wang tebusan.

Dalam kejadian terbaru 19 Ogos lalu, pasangan terbabit dibantu tiga lelaki lain dikesan menculik seorang lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun di hadapan pusat beli-belah Plaza Kota Raya di sini.

Sumber polis berkata, mangsa yang dibebaskan sehari selepas diculik bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 20-an selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Selayang, Gombak.

“Hasil soal siasat dijalankan, polis kemudian berjaya memberkas seorang lagi suspek lelaki warga tempatan di Pulau Pinang.

“Suspek kelima ditahan itu dikesan menggunakan akaun bank miliknya untuk urusan pemindahan wang tebusan,” katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa diculik empat lelaki menaiki sebuah kereta sebelum dipukul termasuk didera menggunakan alat renjatan elektrik.

“Sebaik tiba di Hutan Lipur Ulu Yam, Gombak, mangsa diikat pada kaki dan tangan.

Mata mangsa turut ditutup dengan kain hitam.

“Mangsa kemudian dikurung di sebuah rumah di Selayang.

Kumpulan penjenayah kemudian meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa di Myanmar.

“Sebaik wang tebusan dibayar, mangsa dibebaskan serta merta,” katanya.

Harian Metro difahamkan keluarga mangsa membayar RM10,000 kepada kumpulan penjenayah terbabit selepas diugut mangsa akan dibunuh.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Rasdi Ramli mengesahkan berhubung penahanan lima suspek dan masih memburu seorang lagi penjenayah.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada kumpulan terbabit pernah melakukan jenayah sama sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 3 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment