September 2, 2014

Dua pemandu, seorang penunggang maut dalam nahas

Bahagian hadapan Nissan Frontier yang rosak teruk


Motosikal mangsa yang remuk dalam kemalangan 

Kent maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan

KOTA KINABALU: Dua pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal terbunuh dalam tiga kemalangan berasingan di sini semalam dan di Labuan pada Hari Kemerdekaan.

Dalam kejadian pertama, seorang pemandu kereta jenis Perodua Viva hilang kawalan keretanya dan melanggar sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan di sini semalam.

Difahamkan mangsa, Mark Carlson Wilfred J Modoit, 25, sedang menuju ke Donggongon dari Tambunan apabila dia hilang kawalan keretanya dekat Kasigui dan melanggar treler terbabit sekitar pukul 2.30 pagi.

Mangsa tersepit di tempat duduknya dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa untuk mengeluarkan mayatnya.

Ketua Polis Daerah Penampang DSP Ratan Kumar Singh berkata mangsa maut serta merta di tempat kejadian dan mayatnya akan ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

Dalam kejadian kedua, Kent Julius Moludi, 25, terbunuh di lokasi kemalangan selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di KM13 Jalan Sapulut-Donggongon Tambunan semalam.

Ratan berkata Kent megalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Difahamkan pemandu Nissan Frontier sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Donggongon
dari Babagon apabila kenderaannya bertembung dengan motosikal terbabit di Jalan Sapulut-Donggongon Tambunan sekitar 12.15 pagi.

Ratan berkata kedua-dua kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

Di Labuan, seorang lelaki berusia 21 maut dalam satu kemalangan kereta di Jalan Batu Arang pada pukul 3.50 pagi Ahad.

Ketua Polis Labuan Superitendan Adzhar Othman semalam berkata mangsa dikenali sebagai Ong Chune Hwei dan bekerja dengan syarikat minyak dan gas, Baker Huges.

“Mangsa sedang memandu bersendirian dari bandar menuju ke rumahnya di Taman Tan Villa, Tanjung Aru melalui Jalan Batu Arang.

“Dia dipercayai memandu dengan laju berdekatan dengan Pengkalan Tentera Udara di mana keretanya terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan. Mangsa tersepit di tempat duduknya dan berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.

“Mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi pada pukul 6.15 petang,” katanya dengan menambah yang contoh darah telah diambil dari mangsa untuk tujuan ujian alkohol.

Sumber The Borneo Post 2 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment