September 27, 2014

Budak pergi beli keropok hilang


DI SANA: Rakan-rakan mangsa menunjukkan tempat mereka bermain pada petang hari kejadian.

Kepulangan dinanti

KOTA SAMARAHAN: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan hilang ketika pergi membeli keropok untuk adiknya di Kampung Meranek di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Abdul Muiz Shafizan disedari hilang oleh keluarganya selepas dia dikatakan tidak pulang ke rumah sehingga jam 8 malam kelmarin.

Menurut ibunya, Malena Malak, 36, mangsa pulang ke rumah selepas bermain dengan kawan-kawannya pada kira-kira jam 5.30 petang sebelum dia diminta membelikan keropok untuk adiknya sekitar jam 6.30 petang.

“Dia (mangsa) pulang selepas bermain dengan kawan-kawannya sekitar jam 5.30 petang dan ketika itu saya menyuruhnya mandi dan makan, tetapi dia tidak mahu kerana masih mahu bermain dengan adiknya.

“Sekitar jam 6.30 petang, adiknya merengek mahukan keropok menyebabkan saya terpaksa meminta dia (mangsa) ke kedai berhampiran membelikan keropok, tetapi dia pula tidak pulang-pulang selepas itu.

“Kalau saya tahu perkara ini akan terjadi, memang saya tidak akan menyuruhnya pergi ke kedai,” kata Malena yang sedih menantikan kepulangan anak keduanya itu.

Muiz merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik yang masing-masing berusia 13 dan empat tahun.

Seorang daripada rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Hafiz, 12, memberitahu mereka pada petang hari kejadian bermain di tebing sungai kampung berkenaan untuk menangkap biawak.

“Kami pulang selepas dimarahi oleh orang tua (penduduk kampung) kerana bermain di tebing sungai berkenaan dan tidak tahu pula apa yang dia buat selepas itu sehingga malam tadi (kelmarin) kami diberitahu dia sudah hilang,” kata Hafiz.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebaik sahaja laporan berhubung kehilangan mangsa diterima.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi tersebut masih diteruskan termasuk di sekitar kawasan hutan serta sungai di kampung berkenaan.

Utusan Borneo 27 Sep 2014


Mayat Abdul Muiz ditemui terapung

MATI LEMAS: Dua anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengusung mayat Abdul Muiz di sungai Kampung Pinang, Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang kanak-kanak yang didakwa ghaib dan disembunyikan makhluk halus selepas tidak pulang ke rumah petang Rabu lepas ditemui terapung di sungai Kampung Pinang, di sini semalam.

Difahamkan Abdul Muiz Shafi zan,8, yang dilaporkan dalam beberapa akhbar tempatan telah disembunyikan makhluk halus dan disangkal kemungkinan lemas pada mulanya, ditemui anggota penyelamat sekitar jam 12 tengah hari semalam.

“Mangsa dijumpai mati lemas di sungai Kampung Pinang beberapa kilometer dari tebing sungai tempat kali terakhir mangsa dilihat bermain.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” kata jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mangsa pada Rabu lepas menurut ibunya, Malena Malak,36, telah diminta membeli keropok di kedai berdekatan untuk adiknya yang baharu berusia empat tahun iaitu sekitar jam 6.30 petang.

Abdul Muiz bagaimanapun dilaporkan tidak pulang selepas itu menyebabkan ibu serta ahli keluarganya yang lain terus mencarinya di sekitar kawasan kampung sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis telah dilancarkan sebaik sahaja laporan diterima.

Utusan Borneo 28 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment