September 27, 2014

Dua pembantu perubatan maut

Keadaan kereta Toyota Vios yang remuk teruk dan mengorbankan dua nyawa setelah merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 59.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke Alor Setar, Kedah, semalam. - Gambar Ihsan rakan media

ALOR SETAR 26 Sept. - Dua pembantu perubatan dari dua pusat perubatan berbeza maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 59.7, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, kereta Toyota Vios dipandu pembantu perubatan Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Muhamad Aslam Mat Yazid, 22, yang turut dinaiki pembantu perubatan pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Simpang Empat, Yusniza Mohammad Yussof, 23, merempuh belakang sebuah treler yang membawa muatan kayu.

Menurut Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad, siasatan awal mendapati, rempuhan tersebut dipercayai berlaku ketika kenderaan berkenaan cuba memotong treler tersebut yang dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Pokok Sena.

"Akibat pelanggaran tersebut, tiga lagi kenderaan iaitu sebuah Proton Exora, dan dua Proton Saga yang berada di belakang kedua-dua kenderaan tersebut cuba mengelak menyebabkan mereka turut terlibat dalam kemalangan tersebut.

"Namun kesemua yang berada dalam kenderaan terlibat tidak cedera selain kedua-dua mangsa yang tersepit dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan daripada sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Raja 2 dalam tempoh setengah jam dan dibawa ke HSB untuk dibedah siasat.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, abang Yusniza, Abd. Aziz Mohammad Yussof, 28, memberitahu, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh salah seorang rakan adiknya ketika baru memulakan tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira pukul 7.30 pagi.

"Setelah mendapat berita, saya terus bergegas ke sini. Kami memang rapat dan sering berhubung menerusi telefon kerana sama-sama bekerja di Kedah.

"Sebelum ini beliau pernah memberitahu mahu bercuti panjang bagi membolehkannya pulang ke kampung kami di Kampung Gaung Tendong, Pasir Mas untuk merayakan Aidiladha, namun saya tidak sangka ini akhirnya," katanya.

Beliau memberitahu, jenazah anak kelapan dari 10 beradik itu dibawa pulang ke kampungnya untuk dikebumikan di sana.

Utusan 27 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment