September 2, 2014

Bekas suami lesap sejak 2008

PASIR GUDANG - Seorang wanita mendakwa bekas suaminya bukan sahaja tidak pernah datang menjenguk empat anaknya, malah seolah-olah lepas tangan apabila langsung tidak menghulurkan nafkah sejak berpisah lebih enam tahun lalu.

Syarifah Syed Ali, 34, berkata, hatinya sedih setiap kali anak-anak bertanyakan mengenai bapa mereka, sedangkan bekas suaminya itu langsung tidak dapat dihubungi selepas mereka bercerai sekitar 2008.

Menurut ibu tunggal itu, kudratnya bekerja sebagai pekerja kontrak, selain bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digunakan secara berjimat cermat untuk persekolahan empat anaknya dan keperluan mereka sekeluarga.

“Anak-anak selalu tanya mengenai bapa mereka kerana kawan-kawan di sekolah ada bapa, tapi mereka tak ada.. Hati saya sebak tak dapat beri jawapan yang tepat kerana saya sendiri tak tahu bapa mereka berada di mana sekarang ini.

“Saya baru dua minggu kerja di kantin kilang kerana kontrak saya sebagai operator pengeluaran sudah tamat,” katanya ketika menerima kunjungan Kimma Pasir Gudang sempena Program Amal Merdeka, di rumahnya di Taman Megah Ria, semalam.

Sementara itu, Ketua Kimma Pasir Gudang, Basir Beran berkata, Program Amal Merdeka itu julung kali dianjurkan sempena Hari Merdeka bagi menggembirakan keluarga kurang bernasib baik.

Menurutnya, Kimma mempunyai lapan keluarga angkat sejak diperkenalkan lebih kurang setahun lalu.

“Kita akan pantau keluarga untuk menyalurkan bantuan bulanan, menguruskan bantuan rumah dan sebagainya,” katanya.

Sinar Harian 1 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment