September 2, 2014

OKU jejak empat anak saudara

Hassim berharap dapat bertemu semula semua empat anak saudaranya.

MARANG - Bapa lapan anak juga dikategorikan sebagai OKU, Hassim Omar, 57, yang menetap di Taman Rahmat, Pulau Kerengga, di sini, mencari empat anak saudaranya yang terpisah sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurut Hassim, semua anak saudaranya itu kini berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan merupakan anak kepada adik bongsunya, yang dikatakan tinggal bersama ibu mereka selepas adik bongsunya meninggal dunia.

"Kali terakhir saya bertemu mereka lebih 20 tahun lalu, sejak itu saya tidak pernah jumpa mereka. Saya hanya ingat mereka tinggal bersama ibu mereka di Rantau Panjang, Kelantan, namun tidak mampu menjejaki mereka dengan keadaan fizikal sekarang.

“Selepas 20 tahun tidak bertemu, saya tidak tahu ke mana mereka pergi dan tinggal, serta berharap dapat bertemu mereka semula,” katanya di rumahnya di Taman Rahmat, di sini, semalam.

Justeru, Hassim amat berharap dapat bertemu semula empat anak saudaranya itu memandangkan anak-anaknya tidak mengenali anak saudaranya, malah mereka tidak pernah bertemu dan bimbang tidak berpeluang untuk berkenalan.

Hassim juga merayu sesiapa yang mengenali anak-anak saudaranya agar dapat menghubunginya di talian 019-9915135.

Sinar Harian 1 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment