September 22, 2014

18 cedera nahas 2 bas kilang di Georgetown

ANGGOTA bomba berusaha menyelamatkan penumpang yang cedera selepas bas kilang yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lagi bas kilang di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu, Jelutong, Pulau Pinang, hari ini. - Foto NSTP



GEORGETOWN: Lapan belas cedera dengan seorang daripada mangsa patah kaki kanan dalam kemalangan membabitkan dua bas kilang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Supt Ibrahim Abu Bakar, berkata kemalangan pada 7.30 pagi itu berlaku apabila pemandu bas pertama yang membawa enam pekerja kilang itu berhenti di tepi jalan selepas mengesan bunyi kurang menyenangkan daripada tayar belakang kenderaannya.

"Sejurus pemandu itu memberhentikan kenderaannya, sebuah lagi bas yang membawa 30 penumpang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh bucu kanan belakang bas di hadapannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati nahas itu berlaku di selekoh dan pemandu bas kedua itu tidak sempat mengelak ketika melalui selekoh berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan membawa pulang pekerja kilang syif malam dari Bayan Lepas, dekat sini.

Pemandu bas pertama, Ramli Md Ismail, 61, cedera parah di tangan kanan manakala enam penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ibrahim berkata, 17 daripada 30 penumpang bas kedua cedera ringan tetapi seorang daripada mereka patah kaki kanan dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu bas kedua, Ooi Boon Sing, 58, tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di HPP.

Beliau berkata, majikan pekerja kilang itu sudah dimaklumkan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BERNAMA

21 Sep 2014



0 comments:

Post a Comment