August 21, 2014

‘Sampai hati ibu’

Kuala Lumpur: Seorang ibu tergamak ingin menjual anak sendiri kepada seorang lelaki untuk dilacurkan selain meminta RM20,000 kepada anaknya itu jika tidak mahu dijual.

Tidak cukup dengan itu, wanita berusia 40-an berkenaan turut mengugut ingin mencederakan dan membunuh anaknya itu yang berusia 21 tahun jika enggan menyerahkan wang itu dan tinggal bersamanya semula di rumah kenalannya di Chow Kit, di sini.

Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian membuat laporan di Balai Polis Chow Kit kelmarin untuk tindakan lanjut.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa pada mulanya diajak bercuti di sebuah pusat peranginan bersama ibu dan kakaknya Sabtu lalu tanpa mengesyaki apa-apa.

“Sebaik mendaftarkan masuk ke hotel pada jam 10 malam, ibunya terus memperkenalkan mangsa dengan seorang lelaki dan memaksa dia tidur bersama lelaki terbabit.

“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa merayu tidak diperlakukan sedemikian rupa namun rayuannya tidak diendahkan sebaliknya ditampar dan dipukul,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang kesakitan dan trauma nekad melarikan diri dan bermalam di rumah rakannya di Chow Kit.

myMetro 21 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment