August 20, 2014

Mungkin tidak dapat bersekolah tahun depan

ALOR SETAR - Sepasang suami isteri buntu mengenangkan nasib anak angkat dipelihara mereka sejak berusia dua bulan yang mungkin tidak dapat bersekolah tahun depan.

Ibu angkat, Siti Norlaili Nan, 34, berkata, dia cuba mendaftarkan anak keduanya, Nur Aishah Sofia Abdullah, 6, di sekolah rendah namun ditolak atas faktor status belum ditentukan.

“Saya berusaha pelbagai cara dan tidak henti pergi ke jabatan berkaitan namun permohonan menyekolahkan anak tetap gagal kerana sekolah tidak mahu menerimanya.

“Kami sekeluarga difahamkan pengesahan status anak kepada warganegara hanya boleh diketahui dua tahun lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Norlaili berkata, mereka sepatutnya mengetahui keputusan pengesahan darjah satu sesi persekolahan anak mereka antara Ogos hingga September ini.

Katanya, mereka difahamkan masalah pengenalan diri Nur Aishah akan selesai segera sewaktu mengambilnya di Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti Pulau Pinang pada 2008.

"Saya dan suami, Mohd Azman Wesly, 41, kasihan memikirkan masa depan Nur Aishah memandangkan tempoh mengesahkan status mengambil masa lama. Anak kami sudah berusia lapan tahun ketika menerima maklum balas itu. Itu pun, kami belum pasti sama ada dia mendapat status warganegara ataupun tidak,” katanya.

Menurutnya, dia juga terpaksa menghabiskan wang menghantar anak ke klinik swasta berbanding hospital kerajaan apabila sakit disebabkan tiada MyKid.

"Saya memohon pihak berkenaan dapat menyegerakan proses berkenaan dan meluluskan permohonan status kewarganegaraan kerana bimbang nasib Nur Aishah," katanya.

Sinar Harian 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment