August 20, 2014

Pelajar dakwa dipukul guru hingga pengsan

MARANG - Hanya kerana melambaikan tangan ke arah seorang guru lelaki, pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Kampung Seberang Marang di sini, pengsan setelah mendakwa tengkuknya dipukul guru berkenaan.

Mangsa, Mohd Firdaus Mohd Paudzi, 16, mendakwa sebelum dipukul, kepalanya turut dihantukkan ke kepala seorang rakan sekelasnya ketika mereka berada di koridor bangunan makmal oleh guru yang mengajar pendidikan jasmani itu.

Kejadian kira-kira jam 8.10 pagi, Khamis lalu itu, mengakibatkan mangsa pengsan di tempat kejadian dan terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Bapa mangsa, Mohd Pauzi Khalid, 40, berkata, akibat kejadian itu, anaknya mengalami kecederaan di bahagian tengkuk serta kesakitan dalaman di kepala.

Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Marang.

“Anak saya diperlakukan sedemikian dipercayai setelah melambai tangannya ke arah guru terbabit. Mungkin ketika tu, guru tersebut berada dalam keadaan marah.. oleh kerana anak saya mengaku melambaikan tangan kepadanya, dia terus dikasari.

“Selepas tengkuknya dipukul anak saya terus pengsan. Saya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9 pagi oleh isteri lalu bergegas ke sekolah untuk melihat keadaan anak saya,” katanya.

Menurut bapa kepada lima anak itu, dia boleh menerima kenyataan yang anaknya dihukum jika melakukan kesalahan, tetapi bukan dengan cara sedemikian.

Mohd Pauzi mendakwa, tindakan guru terbabit memukul anaknya tanpa sebab adalah tidak wajar.

“Saya buat laporan polis kerana mahu anak saya mendapat keadilan. Cikgu terbabit juga datang berjumpa saya untuk meminta maaf, namun saya tetap dengan pendirian tak mahu menarik semula laporan dibuat,” katanya.

Sinar Harian turut mengunjungi mangsa di rumahnya di Kampung Alor Tuman di sini, dan dimaklumkan dia hanya akan ke sekolah semula hari ini (esok).
Dia bagaimanapun mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Kassim Husin sudah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut namun belum menerima laporan lengkap daripada pihak sekolah.

Sinar Harian 19 Ogos 2014


JPNT tunggu laporan guru pukul pelajar

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sedang menunggu laporan penuh siasatan insiden seorang pelajar Tingkatan Empat dari sebuah sekolah menengah di Seberang Marang dekat Marang yang mendakwa tengkuknya dipukul seorang guru lelaki Khamis lepas.

Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin berkata pihak sekolah telah membuat laporan kes berkaitan kepada jabatan itu Ahad lepas.

"Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang telah berjumpa dan berbincang dengan guru berkenaan, pelajar bersama ibu bapa untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

Insya-ALLAH, pihak kami akan panggil balik ibu bapa serta pelajar berkenaan bersama pihak polis untuk berbincang lebih lanjut mengenai isu ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, pihak JPNT akan menunggu laporan penuh berkenaan kes tersebut sebelum mengambil apa-apa tindakan.

"Kita tunggu laporan penuh dan keputusan daripada pihak polis mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Khamis lepas, pelajar tingkatan empat berkenaan mendakwa dipukul gurunya di bahagian tengkuk hingga pengsan dan dihantar oleh pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - Bernama

Sinar Harian 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment