August 21, 2014

Maut terkena serpihan peluru rakan

SERI ISKANDAR- Seorang lelaki maut terkena serpihan peluru di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Pasir Garam, Kampung Gajah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Mohd Sarjidi Ibin, 56, bersama seorang rakannya dipercayai memasuki kebun berkenaan untuk menghalau haiwan perosak tanaman.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dengan kesan kecederaan di kepala sebaik satu das tembakan dilepaskan rakannya ke arah seekor babi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, berdasarkan siasatan awal, rakan mangsa menembak babi dan peluru mengenai haiwan berkenaan.

“Pada ketika itu juga, rakan mangsa, 55, turut melihat mangsa rebah dalam semak berhampiran.

“Kepala mangsa didapati berdarah dan dia disyaki terkena serpihan peluru yang ditembak ke arah babi,” katanya.

Menurutnya, mangsa di bawa ke Hospital Changkat Melintang sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kira-kira jam 12.02 tengah malam, semalam.

"Rakan mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Kampung Gajah mengenai kejadian itu dan polis merampas senjata api digunakan selain mengawal keadaan tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, isteri mangsa, dikenali sebagai Rosrah, 50, berkata, sebelum kejadian, suaminya bersama seorang saudara ke kebun sawit berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

“Mereka ke sana (kebun) untuk menghalau babi hutan yang sering berkeliaran di kawasan itu.

"Saya terima panggilan telefon kira-kira jam 2.30 petang memaklumkan kejadian menimpa sebelum bergegas ke Hospital Changkat Melintang melihat keadaan suami sebelum dia meninggal dunia di HRPB," katanya.

Sinar Harian 21 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment