August 21, 2014

Tiba-tiba dah tiada

Putrajaya: Seorang bayi perempuan berusia hampir empat bulan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di kuarters kerajaan Presint 18, di sini, jam 11 pagi semalam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Sumber berkata, bayi perempuan terbabit, Airis Rania Mohd Aidilah dihantar ke rumah pengasuh oleh ibu mangsa jam 7.30 pagi semalam.

“Bagaimanapun, empat jam selepas itu, ibu mangsa menerima panggilan pengasuh terbabit yang memberitahu Airis Rania tidak sedarkan diri.

“Ibu mangsa yang juga kakitangan kementerian di sini bergegas ke rumah pengasuh terbabit menaiki kereta rakannya serta membawa mangsa ke Bahagian Kecemasan Hospital Putrajaya (HPJ),” katanya.

Sumber berkata, ibu mangsa turut menghubungi bapa bayi terbabit memaklumkan kejadian yang menimpa bayi itu.

Katanya, doktor yang merawat mangsa mengesahkan bayi terbabit gagal diselamatkan dan sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, sumber berkata, bapa bayi terbabit turut mendakwa Airis Rania dalam keadaan sihat dan tidak menunjukkan tanda sakit ketika dihantar ke rumah pengasuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya menunggu laporan hasil bedah siasat bayi terbabit.

“Kami belum mengetahui sama ada kes itu kematian mengejut atau sebaliknya kerana kami perlu menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

myMetro 21 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment