August 29, 2014

Maut rempuh lori Propel

Keadaan motorsikal mangsa yang rosak teruk akibat kemalangan tersebut. Gambar kecil: Mohd Asrizal

BAGAN SERAI - Seorang lelaki dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motorsikalnya merempuh lori Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel)di Kilometer 190.2, Lebuhraya Utara-Selatan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.53 pagi, mangsa Mohd Asrizal Safari, 33,  dari Teluk Intan maut setelah motosikal jenis Yamaha yang ditunggang merempuh bahagian belakang sebuah lori Propel sedang melakukan pemeriksaan jalan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superitendan Mohd Radzuan Bachik berkata, mangsa difahamkan dalam perjalanan dari rumahnya di Mukim Kota Seta, Teluk Intan menuju ke tempat kerja di Pulau Pinang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tidak menyedari pemandu lori tersebut sedang melakukan pemeriksaan jalan di laluan kecemasan.

“Mangsa yang terkejut dikatakan cuba mengelak lori terbabit namun motosikal mangsa gagal dikawal dan terlanggar penghadang besi kanan bahagian belakang lori itu.

“Akibatnya, mangsa tercampak ke laluan laju dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya.

Mohd Radzuan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu lori Propel yang enggan dikenali berkata, dia hanya mendengar bunyi dentuman kuat sewaktu melakukan pemeriksaan jalan di laluan kecemasan.

Katanya, dia segera keluar dari lori  dan terkejut mendapati seorang lelaki tercampak bersama motosikal ke laluan laju akibat merempuh belakang lori dipandunya.

“Saya bersama beberapa pekerja lain segera membantu mangsa, namun darah dilihat mengalir dari topi keledar yang dipakai mangsa,” katanya.

Sinar Harian 29 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment