August 29, 2014

Ibu maut selepas hantar anak ke sekolah

Bicara mati

Gerik: “Kakak sering bercakap mengenai mati ketika saya menziarahinya, dua minggu lalu. Dia juga pernah mengajak saya ke kubur untuk menunjukkan tempat kuburnya di Kampung Padang, Gerik jika ditakdirkan dia meninggal dunia nanti,”” kata Mohd Azri Hasan, 42, adik kepada Zakiah Hasan, 44, yang maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 1, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Taman Desa Permata, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.15 petang, Zakiah yang menunggang motosikal jenis Honda Spacy maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita di persimpangan masuk ke rumah mangsa di Taman Desa Permata, di sini.

Difahamkan, mangsa yang baru pulang daripada menghantar anak ketiganya, Muhammad Bukhari Mohd Nasir, 11, ke Sekolah Agama Rakyat Base Came, di sini, melambung bersama motosikalnya ke kaki lima sebelum kepalanya terhantuk ke benteng simen jalan.

Menurut Mohd Azri, arwah kakaknya itu seorang ibu yang bertanggungjawab terhadap empat anak terutama dalam pelajaran dan sering menghantar anaknya ke sekolah dengan menaiki motosikal berkenaan.

“Kakak ada berpesan kepada saya, jika mahu memelihara anaknya, hendaklah mengambil dua orang iaitu anak ketiga serta keempat dan jangan pisahkan kedua-duanya supaya mereka boleh belajar dengan baik,” katanya.

myMetro 29 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment