August 18, 2014

Kenalan naik angin angkara sadap

BESUT - Seorang lelaki cedera ditetak kenalannya dengan sebilah pedang samurai, dipercayai berpunca daripada sebilah sadap dalam kejadian di Kampung Kepala Gajah dekat Renek, di Kampung Raja, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan mangsa berusia 45 tahun cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam kebun kelapa sawit di kampung berkenaan.

Namun katanya, ketika mangsa membakar sampah, dia didatangi seorang lelaki dikenali yang bertanyakan kepadanya mengenai sadap kelapa sawit.

“Mangsa memberitahu suspek dia tidak tahu-menahu mengenai sadap itu, namun suspek dikatakan tidak berpuas hati lalu mengeluarkan sebilah pedang samurai dan  menetak mangsa,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa cuba mempertahankan diri dengan menepis tangan suspek menyebabkan dia cedera di bahagian pipi dan telinga kiri, manakala lehernya pula calar-calar.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih, kira-kira jam 7.30 malam hari sama.

“Mangsa mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Besut kerana keadaannya tidak serius.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita berusaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata," katanya.

Sementara itu, Noorzainy menasihati orang ramai agar mengawal perasaan dan tidak bertindak di luar batasan kerana mereka yang melakukan kesalahan mencederakan orang lain, bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Sinar Harian 18 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment