August 18, 2014

Mangsa samun meninggal dunia

Tan Eng Chin

IPOH - Seorang pekerja stesen minyak  meninggal dunia petang kelmarin, selepas 10 hari bertarung nyawa akibat kecederaan di kepala selepas dipukul penjenayah dalam  kejadian samun stesen minyak di Fair Park.

Tan Eng Chin, 76, yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak 5 Ogos lalu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.47 petang selepas menjalani pembedahan membuang darah beku.

Anak mangsa, Tan, 40-an berkata, bapanya baru bekerja di premis terbabit selama dua bulan dan berdasarkan cerita rakan sekerja bapanya, kejadian samun pada kira-kira jam 8 malam itu didalangi dua lelaki yang menaiki motosikal.

“Bapa saya bertugas di luar manakala rakannya yang menjaga kaunter nampak seorang lelaki meluru masuk dan sembur penyembur lada ke arahnya. Lelaki itu ugut rakan bapa dan buka mesin wang guna senjata tajam.

“Ketika kejadian, bapa saya masih di luar dan saya tidak tahu bagaimana dia boleh tercedera kerana penglihatan rakannya menjadi kabur ,” katanya.

Tan berkata, selepas penglihatan rakan bapanya itu pulih, lelaki itu terkejut melihat Eng Chin terbaring di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah sementara penjenayah terbabit melarikan diri bersama wang.

“Keadaan bapa ketika itu separuh sedar dan dia sempat dihantar ke hospital. Saya terkilan kerana stesen minyak tidak dilengkapi CCTV, jadi kami tidak tahu sama ada bapa dipukul atau terjatuh ditolak penjenayah,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga sudah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Sinar Harian 17 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment