August 18, 2014

Exco Majlis Belia maut dilanggar lori

ABU qassim (gambar kecil) maut selepas dilanggar lori treler dekat Universiti Malaysia Pahang di Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN - Seorang anggota Exco Majlis Belia Malaysia maut dilanggar lori kontena di hadapan pondok bas berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP), kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Gambang malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali kejadian berlaku kira-kira pukul 7.50 malam ketika Abu Qassim Nor Azmi, 28, turun dari sebuah bas ekspres.

"Setelah turun mangsa berjalan menuju ke kereta yang ditunggu isterinya, yang diletakkan di belakang bas tersebut, di sebelah kiri jalan menghala ke Kuantan.

"Setelah selesai memasukkan barang dan begnya ke dalam bonet, mangsa berjalan ke pintu bahagian pemandu untuk memandu. Namun semasa membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta, mangsa dilanggar dari belakang oleh lori kontena berkenaan," katanya.

Beliau berkata akibat rempuhan itu, mangsa yang juga Ahli Majlis Perundingan Belia Negara meninggal di tempat kejadian.

Mohd Noor berkata, sehingga kini pemandu lori terbabit belum membuat laporan polis dan dia sedang dikesan.

Beliau berkata pihak polis akan membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di Tol Gambang bagi mengenal pasti lori berkenaan. - Bernama

18 Ogos 2014


Lori kontena ragut rindu

MANGSA yang dirempuh lori maut di tempat kejadian.

Kuantan: EXCO Majlis Belia Malaysia (MBM) Abu Qassim Nor Azmi, 28, hanya sempat bertemu isterinya lima minit sebelum dia dirempuh sebuah lori di perhentian bas berhampiran Universiti Malaysia Pahang (UMP), kira-kira dua kilometer dari Plaza Tol Gambang, dekat Kuantan, malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, kejadian kira-kira jam 8 malam itu disaksikan sendiri isterinya, Sadrina Mohd Isa, 27, yang sebelum itu menunggu mangsa di perhentian bas berkenaan untuk pulang ke rumah mereka di Taman Gambang Damai, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Saleh berkata, Abu Qassim tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas berhenti di perhentian bas berkenaan sebelum menunggu isteri mangsa yang juga pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang, di Gambang, dekat sini.

Beliau berkata, sebelum kejadian, Abu Qassim yang bertugas sebagai pegawai statistik di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya meletakkan beg pakaian terlebih dulu di but kereta itu sebelum berjalan menuju ke pintu kereta hadapan sebelah pemandu.

“Ketika mahu menukar pemandu, secara tiba-tiba datang sebuah lori kontena dari arah belakang merempuh mangsa sebelum lelaki itu diseret kira-kira lima meter dari tempat kejadian.

myMetro 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment