August 18, 2014

Pemuda Orang Asli ditemui mati tersangkut di pokok

OPERASI menurunkan mayat mangsa dari atas pokok petai.

PASUKAN menyelamat merangka strategi untuk mengeluarkan mayat mangsa daripada kawasan hutan.

IPOH - Seorang pemuda Orang Asli ditemui mati dalam keadaan tersangkut di sebatang pokok petai di sebuah kebun berhampiran Taman Sri Emas dekat Kampar di sini semalam.

Mayat Johnny a/l Pandak, 29, ditemui tersangkut pada sebatang pokok petai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapa saudaranya pada pukul 4 petang.

Bapa mangsa, Pandak a/l Kulop, 50, berkata, risau dengan keadaan mangsa yang tidak pulang beberapa jam setelah keluar ke kebun terbabit, abangnya mencari mangsa di kawasan itu sebelum menemui mangsa.

"Setelah mendapat panggilan telefon daripada abang saya, saya terus pergi ke tempat kejadian dan mendapati anak saya tersangkut di atas pokok petai. Saya terus menghubungi pihak polis dan bomba untuk tindakan lanjut," katanya dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar semalam.

Pandak berkata, dia tidak mahu mangsa dibedah siasat kerana dia percaya tiada unsur jenayah berlaku.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Mohd. Shahriman Mohd. Yusof berkata, mangsa terjatuh semasa memanjat pokok itu untuk mengambil petai sebelum tersangkut di dahan pokok pada ketinggian 10 meter. - Bernama

18 Ogos 2014


‘Habis’ nyawa atas pokok petai

Kampar: Seorang lelaki Orang Asli ditemui maut selepas terjatuh dan tersangkut di atas dahan pokok petai setinggi lebih 10 meter dalam kejadian di kawasan hutan berhampiran Taman Seri Emas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa Johnny Pandak, 29, dipercayai tersilap langkah lalu terjatuh dan tersangkut pada dahan pokok ketika mengutip petai di kawasan berkenaan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kampar Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shariman Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.38 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri ketika diturunkan.

“Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Jarak daripada jalan utama ke lokasi kira-kira tiga kilometer dan hanya boleh dilalui menerusi jalan denai,” katanya.

Beliau berkata, anggota penyelamat terpaksa menggunakan tali dan pengusung untuk menurunkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi menyelamat tamat jam 6.44 petang kelmarin.

myMetro 19 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment