August 30, 2014

Dua penunggang maut digilis lori

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat digilis sebuah lori.

MANJUNG - Seorang remaja dan seorang warga emas maut selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Sitiawan-Ayer Tawar berhampiran Sungai Wangi, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi itu, mangsa, Baharuddin Yaacob, 61, dan Mohamad Zarul Ekmal Rosli, 16, yang terjatuh dari motosikal masing-masing yang bergesel disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki Mohamad Zarul bergesel dengan motosikal ditunggang Baharuddin yang berada di lorong kiri.

Menurutnya, pergeselan itu menyebabkan kedua-dua motosikal berkenaan hilang kawalan lalu jatuh ke tengah laluan.

“Di lorong sama terdapat sebuah lori, namun kenderaan itu tidak sempat untuk mengelak dan merempuh kedua-dua mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 1 Sep 2014

0 comments:

Post a Comment