August 30, 2014

Bayi maut kereta masuk longkang

KERETA dipandu Mohd. Faizal Anuar terbabas ke dalam longkang selepas bergeser dengan lori di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan, semalam.

GUA MUSANG 28 Ogos - Seorang bayi berusia setahun maut manakala tiga lagi ahli keluarganya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang akibat bergeser dengan sebuah lori di Kilometer 68, Jalan Gua Musang-Kuala Krai awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, mangsa, Wan Nur Areen Sofia Mohd. Faizal parah dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang namun disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.

Ibu dan bapanya, Mohd. Faizal Anuar, 26 dan Wan Nor Amizan Wan Zaidi, 25, serta seorang lagi anak mereka, Wan Nur Arina Shafiya, 3, yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Difahamkan, empat beranak berkenaan yang menaiki kereta jenis Honda Accord dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah mereka di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Mohd. Faizal yang memandu kereta tersebut hilang kawalan selepas bergeser dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

"Kereta mangsa kemudiannya terbabas ke dalam longkang di tepi jalan dan orang ramai yang melihat kejadian tersebut membantu membawa mereka mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

"Keluarga mangsa membuat laporan di Pejabat Trafik Gua Musang pada pukul 3.45 pagi manakala pemandu lori tersebut setakat ini masih gagal dikenal pasti," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Utusan 29 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment