July 31, 2014

Luahan hati ibu bapa terpinggir

MARANG - Kenangan membesarkan dan melayan kerenah anak-anak, sesekali terbayang dalam fikiran penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia di sini khususnya ketika umat Islam menyambut Syawal.

Namun kemeriahan sambutan Syawal bersama anak-anak suatu ketika dahulu, kini tiada lagi apabila mereka sudah meningkat usia dan mempunyai keluarga sendiri, selain sibuk mencari nafkah serta menguruskan keluarga masing-masing.

Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan anak-anak penghuni rumah berkenaan tidak mahu menjaga ibu bapa sendiri hingga sanggup membiarkan mereka hidup terasing di rumah orang tua.

Sedih beraya tanpa anak

Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 60-an, berkata, perasaan ibu bapa yang berada di rumah perlindungan itu begitu hancur serta hiba apabila anak masing-masing sanggup bertindak sedemikian rupa kerana walaupun semakin uzur, namun ayah tetap ayah dan ibu tetap ibu.

Namun katanya, tidak sepatutnya penghuni di situ berasa hina kerana terpaksa makan beramai-ramai dengan layanan paling ringkas kerana mempunyai anak sendiri.

“Penghuni mempunyai anak sendiri pastinya bersedih di sini, kadang-kadang sepinggan nasi tidak dapat dihabiskan kerana sebak mengenangkan nasib diri setiap kali laungan azan pada Ramadan serta ketika mendengar takbir raya.

“Sedih kerana dalam masa sama, mungkin anak-anak sedang bergembira dengan pelbagai juadah yang jauh lebih enak berbanding dengan apa dirasai kami di rumah orang tua ini,” katanya.

Terpaksa pujuk hati sendiri

Dalam pada itu, kata seorang lagi penghuni dikenali sebagai Jarah, kisah hidup penghuni di situ wajar dijadikan iktibar kerana sebagai anak yang mempunyai hati dan perasaan, sepatutnya mereka menghargai jasa orang tua masing-masing.

Bagaimanapun katanya, warga tua di situ terpaksa memujuk hati sendiri untuk menerima hakikat yang hidup mereka kini terbuang dan hanya bersedia untuk kembali menemui ALLAH.

“Kami sedar yang kami tidak lama lagi akan meninggalkan dunia kerana usia semakin lanjut, jadi apa salahnya jika di saat-saat akhir hayat ini, kami diberikan sedikit layanan oleh anak-anak sendiri?” katanya.

Lebih tumpu amal ibadat

Sementara itu, bagi Semek Ismail, 80-an, pula, selepas dihantar keluarga ke Rumah Sejahtera Taman Bahagia, lebih utama dalam diari hidupnya sekarang adalah mempersiapkan diri untuk bertemu ALLAH SWT, bertaubat, beristighfar dan memperbanyakkan membaca al-Quran.

Walaupun selesa tinggal di pusat perlindungan itu, kata Semek, jauh di sudut hatinya tetap sedih setiap kali mengenangkan nasibnya yang tidak mempunyai anak, walaupun pernah berkahwin sebelum suaminya meninggal dunia.

Sehubungan itu, Semek berharap generasi muda sentiasa menghargai jasa ibu bapa dengan memberikan sepenuh perhatian dan tidak menghantar mereka ke rumah orang tua atas alasan tidak mahu menjaga mereka.

Walaupun suasana Aidilfitri agak suram, namun lebih 20 penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia Wakaf Dua di Bukit Payong tetap tabah dan sentiasa menerima kunjungan orang perseorangan, swasta serta pemimpin kerajaan.

Sinar Harian 31 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment