July 31, 2014

Dilanyak lori

REMUK: Kereta Myvi terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 27, Jalan Sibu Stapang pagi semalam.

PARAH: Mangsa dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Sungai Merah Sibu.

DISERET: Mayat mangsa berada di bawah lori treler.

SIBU: Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu abangnya bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Batu 27 Jalan Sibu-Stapang di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Noor Surina Zainuddin, 27.

Mangsa bersama abangnya, Mohd Akbar Zainuddin, 29, sedang dalam perjalanan pulang ke Sibu selepas beraya di Kampung Telian, Mukah.

Menurut sumber, Mohd Akbar bersama adiknya bertolak dari Mukah secara konvoi dengan sebuah lagi kereta yang dinaiki abang ipar dan rakan-rakannya.

“Kami bertolak dari Kampung Telian sekitar jam 7.30 pagi tetapi Mohd Akbar bertolak 10 minit lebih awal,” kata sumber yang ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata kereta Myvi itu baharu sahaja dikeluarkan dari bengkel selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dua bulan lalu.

Nur Surina mengalami kecederaan parah di seluruh badan, kaki dan tangannya manakala abangnya mengalami kecederaan serius di kepala, didapati tersepit di tempat duduk mereka.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan jam 9.42 pagi, bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.

Difahamkan Mohd Akbar yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan cedera parah di bahagian kepala terpaksa digegaskan ambulans ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Seorang pemandu teksi ditemui di lokasi kejadian memberitahu, kereta Myvi tersebut cuba mengelak lubang-lubang tetapi gagal sehingga menyebabkan kereta itu hilang kawalan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

Rim kiri Myvi tersebut juga kemek dipercayai terlanggar lubang di situ.

Bagaimanapun, pemandu lori berumur dalam lingkungan 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi tayar lori sebelah kanannya tercabut akibat impak perlanggaran kuat.

Pasukan polis dari Selangau turut berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan seorang lelaki warga emas maut selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah lori treler di Jalan Ding Lik Kwong, di sini tengah hari semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Shafiee Abdullah, 60-an dalam perjalanan menunju tempat kerjanya di kilang papan lapis berdekatan apabila lori treler merempuhnya dari belakang.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Menurut anak tunggal mangsa, Zaitun, 20, ayahnya baharu sahaja pulang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang kayu di Sungai Bidut, jam 7 pagi.

“Ayah ada menghubungi saya sama ada saya mahu mengikutnya pergi ke rumah di Kampung Bharu, tetapi saya menolak,” kata Zaitun ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan mangsa bekerja sejak empat tahun lalu di kilang papan lapis di Ding Lik Kwong dan bekerja sebagai pengawal keselamatan sambilan di kilang papan di Sungai Bidut pada sebelah malam.

Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Utusan Borneo 31 Jul 2014


Pemandu Myvi dalam nahas meninggal

SIBU: Pemandu kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 26, Jalan Sibu-Stapang pagi Rabu lalu disahkan meninggal dunia malam kelmarin.

Mohd Akbar Zainuddin, 28, tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada dalam kemalangan itu.

Adiknya, Noor Surina Zainuddin, 27, yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu mati di tempat kejadian.

Tragedi tersebut berlaku ketika dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke Kam-pung Pa’ Dris selepas
beraya di kampung halaman mereka di Kampung Telian, Mukah.

Utusan Borneo 2 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment