July 15, 2014

Hasrat sambut Syawal tidak kesampaian

SELINSING - Hasrat seorang warga Bangladesh untuk berhari raya bersama rakan senegara di sini, tidak kesampaian  apabila dia maut setelah motosikal dinaikinya bertembung  kereta dalam kemalangan di Kilometer (KM) 9 Jalan Gula, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian  berlaku jam 9.30 malam, di mana mangsa, Momirul Islam Fazlur Rahmat, 35, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama seorang lagi rakan, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

Menurutnya, mangsa dan rakannya yang cedera parah segera dikejarkan ke Hospital Taiping dengan ambulan.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, manakala rakannya yang cedera parah di kepala dan badan kini dirawat di hospital.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Shahrol Aulat, 33, berkata, dia sedih setelah dimaklumkan rakannya meninggal dunia memandangkan rakannya itu menyatakan hasrat untuk beraya bersamanya di sini.

“Lebih memilukan, kuih di dalam bungkusan plastik yang dibawa untuk persiapan hari raya masih berada di dalam bakul motosikal mangsa.

“Mangsa yang bekerja sebagai pekerja sebuah stesen minyak di Jalan Taiping adalah seorang rakan yang baik dan sentiasa ceria,” katanya.

Sinar Harian 14 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment