July 12, 2014

Lelaki maut berlaga dengan lori


Rembau: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya dirempuh sebuah lori di Kilometer 40.5, Jalan Seremban-Tampin berhampiran Pusat Giat Mara dekat Kota di sini, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Mangsa, Mostofa Saffa, 54, dari Seksyen 18, Shah Alam, Selangor yang memandu kereta jenis PERODUA Kancil meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pemandu lori, Mohd Amiruddin Nasiruddin, 31, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan dari Alor Gajah, Melaka ke Port Dickson untuk mengambil barang.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta memberi isyarat ke simpang kanan jalan dan tiba-tiba terus masuk menyebabkan gagal mengelak.

“Saya memang terkejut dan tidak dapat mengelak menyebabkan berlaku rempuhan. Lori saya berpusing satu kali sebelum berhenti di kiri jalan manakala mangsa ketika itu menahan sakit berada di dalam kereta. Selepas itu, saya terus menghubungi bomba untuk bantuan lanjut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saksi, Nasuha Ibrahim, 21, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai memproses kuih dan biskut raya tempatnya bekerja sebelum terdengar bunyi rempuhan kuat dan rakannya memberitahu berlaku kemalangan.

“Rakan memberitahu ternampak kepulan asap dan saya bergegas ke tempat kejadian lalu mendapati sebuah kereta terbalik di bahu jalan. Saya terus menghampiri mangsa dan sempat memeriksa denyutan nadi. Saya terdengar bunyi keruhan kuat beberapa kali dan mangsa kelihatan sangat lemah," katanya yang memaklumkan selepas itu mangsa meninggal di tempat kejadian.

myMetro 12 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment