July 12, 2014

‘Hafiz’ dari penjara

RAKAMAN yang menjadi viral di Internet.

Kuala Lumpur: Kemerduan suara seorang lelaki mengalunkan bacaan ayat al-Quran dipercayai dirakam di dalam penjara menjadi viral di Internet terutamanya di laman sosial Facebook (FB) sejak beberapa hari lalu.

Rata-rata pengguna FB yang menyaksikan rakaman berdurasi dua minit 29 saat itu, memuji kebolehan serta kemampuan lelaki berusia 20-an itu mengalunkan ayat al-Quran dengan begitu baik sekali.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan mengalunkan ayat dari surah al-Qalam bermula dari ayat 10 hingga 28 dengan hanya memakai seluar berwarna jingga dipercayai pakaian yang digunakan bagi seorang tahanan lokap.

Tidak kurang juga pengguna laman sosial FB yang mempertikaikan bacaan lelaki itu kerana dikatakan hanya dibuat secara ‘gerak suara’ selain terdapat pergerakan mulutnya tidak selari dengan audio rakaman.

Malah, ada seorang pengguna FB mendakwa lelaki berkenaan rakannya dan dia pernah menuntut di Pusat Pengajian Tahfiz Madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Dia mendakwa lelaki itu seorang penghafaz al-Quran berasal dari Burma (kini Myanmar) begitu terkenal di Kelantan kerana sering menjadi imam.

Menurutnya, rakannya itu juga disifatkan sebagai seorang yang baik, peramah, sering berpuasa dan berperwatakan tawaduk ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen.

Ekoran ‘penahanan’ lelaki itu, orang ramai dikesan menyalahkan pihak berkuasa kerana menganggap dia tidak sepatutnya dipenjara dan diberi pelepasan berdasarkan kesalahan tidak memiliki dokumen.

myMetro 11 Jul 2014


Imam penjara

Kota Bharu: Seorang lelaki yang sedang popular dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran yang disiarkan dalam YouTube dikenali sebagai ‘Hafiz’ disahkan ditahan di Penjara Machang sejak akhir bulan lalu.

Lelaki berusia 20-an warganegara Myanmar itu menjadi popular kerana bacaan al-Quran dengan suara merdu yang disiarkan dalam video berdurasi 2 minit 29 saat.

Populariti lelaki itu menyebabkan pihak pengurusan melantiknya menjadi imam solat Tarawih di penjara berkenaan.

Sumber Penjara Machang berkata, bacaan merdu dan penuh penghayatan itu menarik orang ramai untuk melihat video berkenaan.

“Dia adalah seorang hafiz yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan seorang pelajar yang pintar.

“Sama ada dia menipu atau tidak, kami masih keliru apabila dia mendakwa semua dokumen perjalanan sah miliknya hilang. Dia amat sesuai menjadi imam kerana sangat bagus dalam bacaan al-Quran.

myMetro 16 Jul 2014


‘Hafiz’ dari lokap jaga ibu sakit

MOHD Nasis (kanan) ketika di penjara dan wajah terkininya di Kemboja. FOTO ihsan pembaca

Kuala Lumpur: “Saya kini menjaga ibu yang sakit barah otak selain cuba mencari kerja bagi menyara hidup. Ayah sudah berusia 70 tahun dan menjadi tanggungjawab saya menjaga mereka,” kata Mohd Nasis Yaakob, 21, pemuda yang mendapat pujian di alam siber selepas video kemerduan suaranya mengalunkan surah al-Qalam bermula dari ayat 10 hingga 28 berdurasi dua minit 29 saat ketika dalam lokap menjadi viral sekitar Julai tahun lalu.

Dia yang kini berada di Kampung Prek Pra, Phnom Penh, Kemboja ketika dihubungi Harian Metro, di sini, petang ini mengakui individu dalam video berkenaan adalah dirinya dan tahu ia tersebar selepas dimaklumkan pegawai penjara.

Menurutnya, dia ditahan anggota polis di Kota Bharu kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan sebelum ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan menjalani hukuman di Penjara Machang.

Katanya, ketika di lokap IPD, dia membaca ayat al-Quran yang dihafal sebelum ‘penghuni’ lokap lain memintanya membaca dengan lebih kuat.

“Memang menjadi amalan saya setiap hari membaca enam juzuk al-Quran. Apa yang saya ingat, ketika itu saya bangun daripada tidur dan terus mengalunkan ayat al-Quran sebelum ‘penghuni’ lain di dalam lokap menyuruh saya membaca dengan kuat.

“Saya terus membaca dan rupa-rupanya ada anggota polis merakamnya dan saya terus berhentikan bacaan,” katanya yang mengakui mendapat layanan baik di lokap dan penjara.

Mohd Nasis berkata, selepas dibawa ke Penjara Machang, pegawai penjara menunjukkan videonya mengalunkan ayat al-Quran dan bertanya adakah dia individu dalam video itu.

“Saya mengakuinya dan selepas itu barulah saya tahu video berkenaan tersebar. Alhamdulillah...” katanya.

Menurutnya, selepas dibebaskan dia dihantar pulang ke negara asal.

“Saya berusaha mencari kerja tetapi setakat ini belum mendapat kerja. Apa yang saya lakukan hanyalah menjadi imam di masjid dan menerima jemputan utuk mengajar agama dan memberi ceramah agama,” katanya yang menghafaz al-Quran ketika berusia 12 tahun.

Katanya, negara ini terlalu dekat di hatinya kerana sudah lama berada di Malaysia dengan menjadi imam dan mengajar agama di negeri seperti Selangor, Pahang dan Kelantan.

“ Memang saya nak kembali semula ke Malaysia, tetapi saya perlu menjaga ibu dan ayah,” katanya yang dibawa neneknya ke negara ini ketika usianya empat tahun.

myMetro 9 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment