July 27, 2014

Budak 13 tahun maut

KUALA BERANG - Hasrat seorang pelajar berusia 13 tahun dari Kampung Pasir Dula menyambut Aidifitri yang tinggal beberapa hari lagi tidak kesampaian apabila dia maut setelah terlibat kemalangan di Kilometer 25 Jalan Kuala Berang-Gawi, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang di Kampung Pasir Dula itu, mangsa, Muhammad Hafzan  Draman yang membonceng motosikal jenis Honda EX5 bersama rakan sebayanya meninggal dunia, dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, sebelum kejadian, mangsa dan rakannya menaiki motosikal dari arah Tasik Kenyir menghala ke Kuala Berang.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal tersebut membuat pusingan U di lokasi kejadian dan dalam masa sama sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang wanita yang mengekori dari belakang tidak sempat mengelak, lalu melanggar motosikal mangsa.

“Penunggang motosikal turut mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Hulu Terengganu, manakala pemandu kereta berusia 28 tahun berasal dari Kuala Berang itu hanya cedera ringan serta mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sehubungan itu, Hussin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya, terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini memandangkan bilangan kenderaan di jalan bertambah.

Sinar Harian 25 Jul 2014

0 comments:

Post a Comment