May 28, 2014

Sampan ‘berpusing’ tak henti

BOT peronda polis marin pulang selepas gagal mencari Hassan (gambar kecil).

Tanjong Karang: Misteri sebuah sampan yang dilihat ‘berpusing’ tanpa henti merungkai kehilangan pemiliknya yang dikhuatiri lemas dalam kejadian di pantai Sungai Kajang, di sini, petang kelmarin.

Sampan berkenaan dilihat berpusing oleh sekumpulan nelayan kira-kira jam 12 tengah hari selepas melalui kawasan yang terletak kira-kira lima kilometer dari pesisir pantai.

Mangsa, Hassan Ashari Mat Da’ae, 39, dipercayai keluar sendirian untuk memancing sebelum sampannya yang masih terdapat peralatan memancing dan barangan peribadi seperti telefon bimbit, ditemui sekumpulan nelayan lain tengah hari kelmarin. Isteri mangsa, Maifuzah Jaid, 37, berkata, beliau sempat menjawab panggilan suaminya kira-kira jam 12 tengah hari namun tidak menyangka perkara buruk berlaku memandangkan suaminya tidak menunjukkan sebarang kelakuan yang mencurigakan.

“Saya tak sangka akan jadi sebegini kerana ketika terima panggilan itu, abang (Hassan) tak cakap apa-apa yang mencurigakan. Tak ada kata-kata pelik atau kelakuan yang berbeza.

“Hanya Allah saja tahu perasaan saya bila dimaklumkan sampan suami ditemui berpusing-pusing di laut tanpa kelibat suami dan operasi mencari masih dijalankan sejak semalam.

“Kami masih menunggu setia di sini untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pasukan bomba kerana mahu mengetahui maklumat mengenai nasib suami dan berharap beliau ditemui dalam keadaan selamat secepat mungkin,” katanya. Rakan mangsa, Khairi Nordin, 52, berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai insiden itu memandangkan hampir setiap cuti hujung minggu beliau akan turun ke laut untuk memancing bersama mangsa.

“Saya dan Hassan memang rakan rapat dan kami sering turun ke laut untuk memancing ikan bersama-sama tapi kebetulan semalam (kelmarin) saya tak ikut kerana terlena walaupun saya ada menerima panggilan telefon daripadanya.

“Namun, saya terkejut apabila rakan kami menghubungi saya dan memaklumkan mengenai penemuan sampan milik Hassan tanpa kelibatnya di tengah laut.

“Apa yang saya bimbangkan ialah mangsa terjatuh kerana sampannya ditemui, ia berpusing-pusing sehingga kehabisan minyak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang melaporkan kehilangan seorang lelaki jam 2.51 petang kelmarin.

“Saksi memaklumkan menemui sampan yang lengkap dengan peralatan memancing yang dipercayai pemiliknya dikhuatiri lemas.

“Bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan di mana mangsa dipercayai terjatuh sebelum dihentikan pada jam 8.30 malam semalam (kelmarin) dan diteruskan pada hari ini (semalam) dengan kekuatan keseluruhan seramai 40 penyelamat termasuk Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pasukan Bomba Sukarela dan nelayan tempatan,” katanya.

Azmi berkata, sebanyak lapan bot daripada pelbagai agensi digunakan dalam operasi berkenaan selain Pusat Kawalan Operasi Bomba dibuka di Jeti Sungai Kajang.

Tambahnya, pihak bomba menasihatkan semua pemancing yang ingin turun ke laut supaya mematuhi aspek keselamatan seperti memakai jaket keselamatan bagi mengelakkan dari berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

myMetro 27 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment