May 28, 2014

Budak enam tahun mati didera

SEORANG ahli keluarga mengangkat mayat Muhammad Akir di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur semalam.

AMPANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas dipercayai didera dan disimbah air panas oleh bapa tirinya di rumahnya di Pangsapuri Permai Ria, Taman Tasik Permai di sini kelmarin.

Mangsa, Muhammad Akir Mustaqim Rashidi yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1 petang oleh ibunya di rumah tersebut.

Kanak-kanak malang itu kemudian dihantar ke Hospital Ampang namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah memberitahu, hasil bedah siasat, polis percaya mangsa mati akibat didera.

“Pemeriksaan pada mangsa menemui kesan lebam pada badan, kaki dan tangannya.

“Muka dan bahagian hadapan badan mangsa turut terdapat kesan melecur dipercayai disimbah air panas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mohd. Adnan berkata, susulan kejadian itu, bapa kandung mangsa, Rashidi Nordah, 36, membuat laporan di Balai Polis Ampang pada hari yang sama.

Tambahnya, polis kemudiannya menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan ibu kandung mangsa dan bapa tiri mangsa berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi bagi membantu siasatan.

Kosmo 28 Mei 2014


"Mak, adik tak buat dah, sakit"


Itu raungan terakhir Mohammad Akhil Mustaqim Rashidy, 6, ahad yang lalu.

Jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 40-an berkata mangsa sekeluarga baru berpindah ke kawasan perumahan itu empat bulan yang lalu.

Bagaimanapun, sejak berpindah, Maria selalu mendengar anak-anak pasangan itu termasuk mangsa menangis akibat dipukul.

"Petang ahad lalu, saya mendengar suara mangsa meraung kesakitan lebih sejam akibat dipukul emaknya tanpa henti.

"Dia menangis dan meminta emaknya berhenti memukul, tetapi tidak dipedulikan oleh wanita itu." jelas Maria.

Mohammad Akhil disahkan meninggal dunia jam 6 petang kelmarin di Hospital Ampang kerana kecederaan parah di seluruh badan akibat dipukul dan melecur tahap satu dipercayai disimbah air panas.

Kaki kiri mangsa patah, seluruh badan lebam dan melecur. Ada kesan baru dan lama. Hasil pemeriksaan doktor, mangsa sudah didera sejak 6 bulan lalu.

Kanak-kanak malang itu dibawa ke Hospital Ampang oleh bapa tirinya jam 2 petang sebelum disahkan meninggal dunia selepas empat jam menjalani rawatan.

Bapa tiri mangsa yang berusia 35 tahun itu kemudiannya menghilangkan diri selepas menghantar anak tirinya itu ke hospital.

Jelas Maria lagi, pada malam kejadian, dia ada ternampak mangsa berjalan longlai dan kelihatan lemah.

"Pada Isnin, saya melihat datuk mangsa yang menghantar salah seorang cucunya pulang dari sekolah mengetuk pintu rumah mangsa, tetapi selepas lama mengetuk baru dibuka" katanya.

Ketika itu, dia mendengar ibu mangsa menangis memberitahu mahu ke hospital dan mereka mendukung mangsa yang kelihatan sudah tidak sedarkan diri keluar dari rumah berkenaan.

Malah, Maria mendakwa kakak kepada mangsa yang masih bersekolah rendah juga sering menjadi mangsa dera ibu bapanya.

Mayat mangsa dibawa ke Masjid Bandar Baru Ampang untuk disembahyang sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Teratai Ampang selepas waktu Zuhur.

Sementara itu, bapa kandung mangsa, Rashidy Nordah, 37, dia berpisah dengan isterinya pada 2009 dan lima anak termasuk mangsa berada di bawah penjagaan bekas isterinya.

Dia mendakwa tidak dapat berjumpa dengan semua anaknya berusia 13,11, 9,6 & 5 tahun itu kerana isterinya berpindah.

Rashidy berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian malang ini melalui bekas isterinya yang menghubunginya pada jam 2.30 petang kelmarin.

"Saya terkejut menerima berita malang ini bagaimanapun redha dengan pemergian Akhil," katanya.

Bapa tiri dan ibu mangsa dera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditahan di rumah mereka di Ampang bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ~ myMetro

myMetro 28 Mei 2016


Padah abai, sebabkan kematian anak

Nor Zuliana Tahir. FOTO Sarah Zulkifli

Zuhairi Kassim. FOTO Sarah Zulkifli

Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

Ampang: Ibu beranak tujuh yang sedang sarat hamil lapan bulan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan pengabaian dan dengan cuai menyebabkan kematian anak lelakinya berusia enam tahun di sebuah pangsapuri di Tasik Permai, di sini, dua tahun lalu.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Zuliana Tahir, 34, suri rumah, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah melakukan perbuatan itu terhadap anak keempatnya, Muhammad Akhil Mustaqim Rasidy.

Selain itu, mahkamah turut mendenda RM15,000 suami Nor Zuliana, Zuhairi Kassim, 40, yang juga bapa tiri kanak-kanak itu atas tuduhan bersama-sama melakukan pengabaian terhadap Muhammad Akhil Mustaqim di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, pada 12.30 tengah hari, 23 hingga 26 Mei 2014.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi tuduhan pengabaian Muhamaad Akhil Mustaqim, manakala penjara 10 bulan lagi bagi wanita itu atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anaknya.

Sebelum ini, pada 9 Jun 2014, suami isteri itu dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan sama dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

myMetro 9 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment