May 30, 2014

Maut terjunam dalam laut

Lelaki maut selepas kereta dinaikinya terjunam ke dalam laut berhampiran Terminal Bot Lekir, Lumut, 11.35 malam tadi.

Lumut: Seorang lelaki maut selepas gagal mengawal kereta dinaikinya sehingga menyebabkannya terjunam ke dalam laut berhampiran Terminal Bot Lekir, dalam kejadian 11.35 malam tadi.

Mangsa Mohd Yusaini Mat Yassin, 25, yang baru saja selesai bertugas dipercayai menggunakan kereta rakannya untuk ke kabin berdekatan bagi mengambil barang keperluannya.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, mangsa dipercayai terjunam ke dalam laut malam tadi sebelum berjaya dikeluarkan kira-kira jam 10.20 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa yang memandu kereta rakannya itu kemudiannya melakukan pusingan 'u' di atas jeti berkenaan namun gagal mengawal kenderaan itu sehingga menyebabkannya terjunam ke dalam laut.

Katanya, bomba terpaksa mendapatkan bantuan pihak jeti untuk menarik kenderaan terbabit menggunakan kren sebelum dapat mengeluarkan mangsa.

"Mangsa ditemui terperangkap di dalam kereta berkenaan dan dibawa ke Hospital Manjung untuk bedah siasat," katanya.

myMetro 29 Mei 2014


Operator kren maut kereta terjunam dalam laut

LUMUT 29 Mei - Seorang lelaki maut setelah kereta milik rakan yang dipandunya terjunam ke dalam laut ketika cuba membuat pusingan U di jeti Terminal Pelabuhan Lekir di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.20 malam itu, mangsa, Mohd. Husaini Mat Yasin, 25, yang bekerja sebagai operator kren, mati lemas apabila terperangkap di dalam kereta Proton Waja berkenaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Gugusan Lekir, Sitiawan itu baru selesai bertugas di terminal pelabuhan berkenaan bersama rakannya, Muhamad Adham Badiuzaman, 28.

Katanya, Muhamad Adham kemudian telah meminjam motosikal Mohd. Husaini untuk ke tandas yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

"Dia (Muhamad Adham) memberikan kunci keretanya kepada mangsa yang mahu ke kawasan kabin berdekatan untuk mengambil barang keperluan. Bagaimanapun, apabila kembali semula ke terminal itu, Muhamad Adham terkejut mendapati mangsa telah terjunam kira-kira 20 meter ke dalam laut," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa kurang cekap memandu kereta manual berkenaan sebelum terbabas ketika membuat pusingan U di kawasan jeti.

Jaafar seterusnya memberitahu, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan menemukan mayat mangsa pada pukul 10.20 pagi dan dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat.

Muhamad Adham ketika ditemui berkata, mereka memang sering bertukar kenderaan kerana sudah berkawan sejak kecil lagi.

"Tidak sangka pula dia menemui ajal," katanya yang menyedari perubahan sikap mangsa yang pendiam berbanding biasa sejak beberapa hari lalu.

Utusan 30 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment