May 24, 2014

Ajal di tangan mertua

RUMAH di Lorong Lau Eng Peng, Jalan Kim Kee, Muar, Johor tempat Wei Kuan (gambar kecil) ditemui mati kelmarin.

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dibedah siasat di HPSF.

Muar: Seorang lelaki mati manakala seorang lagi parah selepas kedua-dua mereka dikatakan bergaduh menggunakan senjata tajam dalam kejadian membabitkan menantu dengan bapa mentua di sebuah rumah di Jalan Kim Kee, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 1 pagi itu, Lim Wei Kuan, 34, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dapur rumah teres satu tingkat itu dengan empat kesan tikaman di badan manakala bapa mentuanya yang berusia 60-an turut cedera ditetak empat kali di badan dan leher.

Difahamkan, sebelum kejadian, warga emas itu yang ditemani beberapa lelaki pergi ke rumah berkenaan bersemuka dengan menantunya itu bagi mendapatkan penjelasan berkaitan masalah rumah tangga anak perempuannya.

Malangnya, pertengkaran berlaku sebelum seorang daripada mereka mula menyerang menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai.

Pergaduhan yang membabitkan menantu dan bapa mentua itu menyebabkan mangsa ditikam empat kali termasuk dua terkena jantung manakala warga emas itu ditetak empat kali di badan dan leher.

myMetro 24 Mei 2014


Menantu maut, bapa mertua parah

MUAR - Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di sebuah rumah di Jalan Kim Kee, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun, ditemui berlumuran darah di dapur rumah teres setingkat dengan empat kesan tikaman pada badan.

Insiden tersebut dipercayai berpunca daripada pertengkaran di antara menantu dengan  bapa mertua yang tidak berpuas hati layanan mangsa terhadap anak perempuannya.

Lelaki berusia lingkungan 60an itu bersemuka dengan menantunya bersama beberapa lelaki bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kemelut rumah tangga anak perempuannya.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang membuatkan warga emas itu naik berang yang mencetuskan pergaduhan sebelum salah seorang daripada mereka mula menyerang menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai.

Mangsa ditikam empat kali termasuk dua disyaki mengenai jantung manakala warga emas berkenaan ditetak empat kali di badan dan leher.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia yang sedang tidur terkejut mendengar jeritan kuat orang meminta tolong.

“Saya cuba sambung tidur semula tetapi terbantut apabila jeritan itu semakin kerap berulang mendorong saya ke tingkap untuk melihat apa yang berlaku.

“Ada beberapa jiran berdiri di luar rumah masing-masing membuatkan saya turut terdorong ke luar rumah,” katanya kepada Sinar Harian, di lokasi kejadian.

Menurutnya, selang beberapa minit kemudian, jiran memberitahu melihat dua lelaki keluar dari rumah tersebut dan melarikan diri ke arah berlainan sebelum jiran itu menghubungi polis.

Jelasnya, mereka segera ke rumah itu dan sekali lagi terkejut apabila melihat warga emas berkenaan berlumuran darah dan menantunya tidak sedarkan diri di dapur.

“Tidak lama kemudian, polis tiba di lokasi kejadian dan warga emas itu yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya sudah menahan beberapa individu serta mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan.

Menurutnya, beliau hanya boleh mengesahkan kejadian dan enggan mengulas lanjut kerana kes  masih  dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 320 kanun keseksaan,” katanya.

Sinar Harian 24 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment