May 24, 2014

Lima beradik jadi yatim piatu

MANGSA kemalangan di Jalan Cheras menghala Jalan Chan Sow Lin, pagi tadi. - Foto myMtero

Motosikal mangsa dirempuh lori dari belakang dan kedua suami isteri maut digilis. - Foto Sinar Harian

Kuala Lumpur - Lima beradik hilang tempat bergantung apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew, di sini kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Bapa mereka yang maut dikenali sebagai Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya, Norsalawati Ibrahim, 40, dalam perjalanan ke tempat kerja apabila terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa mereka.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, siasatan mendapati pasangan itu dipercayai dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang selepas motosikal mereka terbabas ketika melalui jalan tersebut.

"Lori berkenaan menggilis tubuh  mangsa. Mangsa cedera parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori pula terus meninggalkan tempat itu dan gagal dikesan,” katanya.

Mohd Fadhli berkata, sehubungan itu polis berusaha mengesan pemandu lori berkenaan.

Pada masa sama, katanya, saksi kejadian sudah dipanggil memberi keterangan.

“Kita masih menyiasat punca kejadian. Kes disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, mayat suami isteri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, dan waris mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu,  adik Jefri,  Zaina Mohd Zain, 40, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jirannya kira-kira jam 10 pagi.

“Saya hubungi  polis bagi mendapatkan kepastian. Selepas itu, saya meminta pertolongan jiran untuk mengambil anak arwah yang berada di sekolah dan saya terus bergegas ke HKL.

“Anak-anak mereka hanya dimaklumkan mengenai kejadian ketika mereka dibawa pulang ke Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak," katanya.

Zaina berkata, sebelum itu, Jefri yang bekerja sebagai juruteknik dalam perjalanan dari rumahnya di Pangsapuri Taman Desa Cheras, manakala tempat kerja isterinya adalah di kilang berhampiran di Jalan Chan Sow Lin.

Difahamkan jenazah suami isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungkai, Perak.

Lima anak yang mereka tinggalkan itu berusia dari dua  hingga 16 tahun.

Sinar Harian 24 Mei 2014 dan myMetro 23 Mei 2014


Pesan jaga adik

LIMA beradik kini dijaga ibu saudara mereka.

Kuala Lumpur: “Biasanya ayah selalu terus keluar bekerja, tapi semalam dia sempat beri nasihat supaya saya menjaga adik-adik,” kata Mohd Haikal Jefri, 16, anak sulung kepada pasangan suami isteri yang maut akibat digilis lori muatan tanah di Jalan Cheras di sini pagi, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata ibunya pula tidak banyak bercakap sejak seminggu lalu.

Menurut Mohd Haikal, dia tidak menyangka ciuman tangan ibu dan bapanya pagi semalam adalah yang terakhir bagi mereka adik-beradik sebelum menjadi yatim piatu.

Bagaimanpun, dia reda dengan kejadian itu dan akan menjaga adik-adik yang masih kecil dengan bantuan ibu dan bapa saudara.

“Saya dan adik-adik tak akan berpisah, lagi pun ibu dan ayah saudara sudah beritahu akan jaga kami,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras.

myMetro 24 Mei 2014


Polis rakam percakapan pemandu lori dalam kes kemalangan maut di Cheras

Cheras: Polis sudah merakam percakapan pemandu lori terbabit dalam kes kemalangan pasangan suami isteri di Jalan Cheras, semalam, sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.

Lelaki terbabit ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung, Kajang, dan dibawa ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee untuk soal siasat selepas pemilik lori itu tampil ke balai polis bersama kenderaan terbabit.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd Fadhli Daud berkata, hasil daripada maklumat saksi yang tampil membantu, pemilik lori terbabit dihubungi sebelum dia datang ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee dengan membawa bersama lori yang terbabit dalam kemalangan itu.

Menurutnya, siasatan lanjut kemudian mendapati pemandu lori menetap di Kajang dan pegawai polis mengesan suspek sebelum dia ditemui di R&R Bukit Dukung.

“Polis juga menghantar lelaki itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuat ujian air kencing dan mengambil sampel darah.

“Pemandu terbabit turut membuat laporan polis berhubung kemalangan itu. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

myMetro 24 Mei 2014


Akaun palsu kutip derma

Sungkai: Waris suami isteri, Jeffri Mohd Zin dan Norsalawati Ibrahim yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Chan Sow Lin, Cheras, Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu, terkilan dengan segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas kejadian yang menimpa keluarganya untuk mengaut keuntungan di laman sosial sejak dua hari lalu.

Adik Allahyarham Jeffri, Zainah Mohd Zain, 44, yang ditemui di kediaman mereka di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, di sini, semalam, mendakwa segelintir menyediakan saluran bantuan dan memberi nombor akaun palsu di laman sosial termasuk Facebook.

“Pendapatan yang mereka peroleh itu adalah harta anak yatim.

“Saya juga turut terkilan dengan tohmahan yang dilemparkan segelintir pengguna laman sosial mendakwa kami sekeluarga meraih simpati masyarakat untuk mendapatkan keuntungan sedangkan bantuan yang kami terima tidak dipinta. Semua itu perbelanjaan dan keperluan lima anak arwah,” katanya.

Menurutnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan dan sumbangan. Begitupun dia berharap orang ramai tidak terpedaya dengan khidmat saluran bantuan yang dipaparkan di laman sosial.

myMetro 27 Mei 2014


Nampak arwah ibu dekat tingkap

Kuala Lumpur: “Dia seolah nampak arwah ibu dan ayahnya semasa hari pengebumian, dia menunjukkan sesuatu pada arah tingkap rumah di kampung sambil menyebut umi,” kata Zainah Mohd Zain, 44, ibu saudara kepada Nor Auni Safiya berusia dua tahun yang juga adik bongsu daripada lima beradik yang kehilangan ibu dan ayah mereka dalam kemalangan maut di Jalan Loke Yew, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, Nor Auni bersama adik beradiknya yang lain iaitu Mohd Haikal,16, Nur Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, lapan tahun, Nor Syamimi, empat tahun, berada di kampung halaman mereka di Kampung Rahmad Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak.

Zainah berkata, ketika itu, dia termasuk ahli keluarga yang lain tidur lewat termasuk anak-anak saudaranya itu.

“Selepas selesai pengebumian, saya dan Nor Auni berehat di rumah, tidak semena-mena Nor Auni menunjukkan sesuatu ke arah tingkap rumah dan menyebut nama seakan umi yang menjadi nama panggilan kepada ibu mereka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Taman Desa Cheras, di sini semalam Katanya, Nor Auni turut merenung lama pada tingkap itu dan seolah ingin memberitahu sesuatu kepadanya.

“Bagaimanapun, hanya nama umi yang kedengaran, tapi daripada riak wajahnya seolah dia amat merindukan ibunya itu,” katanya.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, Nor Auni menjadi tidak bermaya dan sering menyebut umi sehinggalah sekarang.

“Sebaik dia bangun dari tidur, dia akan mula menyebut umi,” katanya.

Setakat ini, lima beradik terbabit masih menetap di rumah mereka di Flat Taman Desa Cheras.

myMetro 28 Mei 2014


‘Jangan pisahkan kami...’

MUHD Haikal (kiri) bersama empat adiknya Fatin Adlina, Mohd Aidil, Norsyamini dan Nor Auni Safia.

Putrajaya: “Jangan pisahkan kami”. Itulah rayuan lima anak pasangan Jeffri Mohd Zin dan Norsalawati Ibrahim yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Chan Sow Lin, Cheras Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, permintaan itu diluahkan lima beradik berkenaan sejak hari pertama kejadian menimpa kedua ibu bapa mereka.

“Bayangkan pada umur masih kecil, mereka sudah mampu beritahu supaya jangan pisahkan mereka adik beradik. “Ketika ini, emosi mereka memang masih belum stabil kerana kehilangan ibu bapa sekelip mata meninggalkan kesan trauma mendalam pada diri mereka,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini, semalam.

Dalam kejadian 7.30 pagi 23 Mei lalu, juruteknik Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal setelah digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras, di Jalan Loke Yew.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3.

Dalam pada itu, Rohani turut menyelar tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan mengggunakan nama lima beradik itu untuk mengutip derma demi mengaut keuntungan menerusi laman sosial Facebook (FB).

Katanya, dalam keadaan ini, lima beradik berkenaan sepatutnya diberi sokongan terutama dari segi emosi kerana masih trauma akibat kehilangan ibu bapa dalam sekelip mata.

“Jangan ambil kesempatan, mereka masih dalam keadaan berduka cita dan bersedih serta memerlukan sokongan... seboleh-bolehnya bantu mereka untuk menambah sumbangan sedia ada, tetapi jangan menggunakan nama mereka untuk kepentingan masing-masing. “Jika betul ingin membantu mengutip derma bagi pihak lima beradik ini buat dengan ikhlas jangan mengambil kesempatan,” katanya.

Kelmarin Harian Metro melaporkan luahan waris pasangan berkenaan yang terkilan dengan segelintir pihak yang tidak berhati perut serta mengambil kesempatan atas kejadian yang menimpa keluarganya untuk mengaut keuntungan bagi diri sendiri di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Adik Jeffri, Zainah Mohd Zain, 44, dipetik berkata, segelintir pihak menyediakan saluran bantuan dan memberi nombor akaun palsu di laman sosial.

Selain itu, Rohani berkata, selain bantuan kewangan RM450 sebulan, kementerian akan terus memberi kaunseling kepada anak pasangan itu kerana masih trauma dengan kejadian berkenaan.

myMetro 28 Mei 2014


‘Kami nak pakai baju raya berwarna coklat’

Kuala Lumpur: “Raya nanti kami semua nak pakai baju Melayu dan baju kurung coklat sebab ada kawan umi beritahu raya ni umi berhasrat nak beli baju coklat untuk kami semua,” kata Muhd Haikal Jefri, 16, anak sulung pasangan suami isteri yang maut digilis lori di Jalan Chan Sow Lin, Cheras 23 Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, pakaian berkenaan belum dibeli lagi dan dia akan meminta bantuan ibu serta bapa saudara membelinya untuk mereka lima beradik.

Katanya, sejak kematian ibu bapanya, mereka menerima pelbagai sumbangan daripada orang ramai termasuk baju raya dan bersyukur dengan bantuan diberikan.

“Bantuan serta baju raya sudah ada cuma dekat raya nanti saya akan minta mak cik atau pak cik beli baju coklat untuk kami supaya hasrat umi untuk membeli baju bertemakan warna coklat tahun ini tercapai walaupun umi sudah tiada,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran pejabat Timbalan Perdana Menteri yang dihoskan Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di sini semalam.

Pada majlis itu, Muhd Haikal bersama empat adiknya, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, berusia empat tahun, dan Nor Auni Safia, berusia tiga tahun, menerima sumbangan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kemalangan jam 7.30 pagi 23 Mei lalu, Jefri Mohd Zain, 46, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki motosikal selepas digilis lori dalam kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras di Jalan Loke Yew.

Juruteknik mesin fotostat itu dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Desa Cheras untuk menghantar isterinya bekerja di kilang berhampiran Jalan Chan Sow Lin.

Sementara itu, mengenai bulan puasa, Muhd Haikal berkata, mereka menyambutnya secara sederhana bersama ibu dan bapa saudaranya.

Katanya, ketika ini, mereka dijaga ibu saudara yang menguruskan makan minum serta keperluan semuanya.

“Kami dijaga mak su di rumah kami.

myMetro 9 Jul 2014

5 comments:

  1. sedih dgn berita yg d sampaikan ini..wlaupun sy tidak mpuyai apa2 pertalian darah dgn mereka..tetapi perasaan hiba turut d rasai dengan linangan air mata yg menitis...semoga arwah d tempatkan d kalangan mereka yg beriman..kpd anak yg sulung jaga laa adik2..sebaik yang mungkin...kepada pihak berwajib di harap tidak memisahkan mereka..bia laa mereka hidup bersama...selagi hayat d kndung badan...
    iklas dari insan sedih....

    ReplyDelete
  2. http://beautifulnara.com/rebecca-nur-islam-ambil-5-adik-beradik-jadi-anak-angkat/

    ReplyDelete
  3. Mereka ini sepatutnya dapat perhatian sama seperti dua beradik tu. Mereka berlima ni lagi adalah golongan kurang mampu, berbanding dgn kes dua beradik tu. kesian... semoga Tuhan memberkati.

    ReplyDelete
  4. Salam ade sesiapa yg blh berikan alamat mereka pd saya.insyaallah akan cb membantu sekadar yg mampu.terima kasih

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah...mereka tetap bersama..kadang2 terlintas difikiran..bagaimana nasib anak2 ini..kalau ramai yg perihatin..syukurlah

    ReplyDelete